Model perniagaan 1MDB terlalu idealistik - Najib

Astro Awani
November 4, 2015 05:05 MYT
Najib berkata kerajaan menjangkakan untuk mengurangkan keseluruhan jumlah hutang 1MDB secara signifikan kepada RM16 bilion. - Gambar Fail
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan model perniagaan syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum ini, sebagai terlalu idealistik.
Kata Najib pelaburan 1MDB dalam Edra Global Energy tidak memenuhi sasaran penyenaraian Tawaran Awam Permulaan (IPO) syarikat.
Ia menyebabkan 1MDB dibebani hutang yang tinggi.
"Bank Negara sebelum ini merumuskan tidak ada risiko sistemik berkaitan 1MDB,"
"Dalam erti kata lain, sekiranya ia gagal, kesan terhadap kewangan 1MDB masih boleh dibendung," tegas Najib dalam laporan The Star hari ini.
Sehubungan itu Najib berkata kerajaan menjangkakan untuk mengurangkan keseluruhan jumlah hutang 1MDB secara signifikan kepada RM16 bilion.
Sebagai contoh jelas beliau, 1MDB mempunyai dua cadangan pengambilalihan aset tenaga dengan Edra Global Energy Bhd.
"Saya yakin 1MDB akan berjaya melalui proses rasionalisasi hutangnya pada penghujung tahun ini," jelas beliau.
Najib turut mengakui kontroversi 1MDB mencetus kebimbangan rakyat yang serius berhubung isu tadbir urus negara.
"Saya setuju isu 1MDB mencetus kebimbangan berhubung tadbir urus negara.
"Kami melaksanakan siasatan lengkap dan sebarang salah laku akan diuruskan mengikut undang-undang," ujar Najib.
Siasatan sehingga kini melibatkan tiga agensi, Polis Diraja Malaysia, PDRM, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara.
"Semua siasatan sedang berjalan dan kita akan mendapat jawapannya," tegas Najib.
Najib berkata demikian sebagai mengulas pertanyaan dikemukakan Pengarah Urusan Kumpulan dan juga Ketua Pegawai Eksekutif The Star Media Group, Datuk Seri Wong Chun Wai.
#1Malaysia Development Berhad #1MDB #Arul Kanda Kandasamy #Najib Razak