Model pembiayaan hibrid kini cabaran bagi pelaksanaan MRT3

Bernama
Mac 7, 2022 04:00 MYT
Model hibrid MRT3 adalah yang pertama seumpamanya di bawah ruang lingkup pemilik projek Mass Rapid Transport Corp Sdn Bhd (MRT Corp). - Gambar fail/ Dagang News
KUALA LUMPUR: Meskipun kerajaan telah memberikan kelulusan untuk meneruskan projek Laluan 3 Aliran Transit Berkapasiti Tinggi (MRT3; Laluan Lingkaran) pada Jumaat minggu lepas, CGS-CIMB Securities Sdn Bhd berkata tumpuan sekarang beralih kepada pelaksanaan dan kejayaan model pembiayaan hibrid, memandangkan kekangan fiskal kerajaan.
"Kami melihat kelulusan yang diberikan bagi meneruskan projek MRT3 sebagai pemangkin positif terbesar kerana ia menyediakan peluang pekerjaan yang amat besar pasca pandemik.
"Bagaimanapun, cabaran kini terletak kepada pelaksanaan cadangan model pembiayaan hibrid yang memerlukan penyertaan besar sektor swasta bagi memulakan kerja-kerja sivil awal," katanya dalam satu nota penyelidikan pada Isnin.
Model hibrid MRT3 adalah yang pertama seumpamanya di bawah ruang lingkup pemilik projek Mass Rapid Transport Corp Sdn Bhd (MRT Corp).
Firma pembrokeran saham itu menjangkakan MRT Corp akan mempercepat libat urus dengan industri dan memuktamadkan struktur serta penjajaran projek hibrid sebelum penawaran tender yang dijangkakan pada suku keempat 2022.
Ia juga memberikan prospek positif kepada potensi benefisiari MRT3 sebelum ini iaitu bagi pakej kejuruteraan dan perkhidmatan pengurusan projek (EPMS), yang dijangka diagihkan semasa peringkat reka bentuk dan sebelum pemberikan kontrak kerja sivil.
"Kami juga yakin dengan benefisiari pakej MRT3 bernilai lebih besar dengan kelebihan utama berbanding kontraktor berpotensi lain," katanya.
Keseluruhannya, firma pembrokeran itu mengekalkan penilaian "Neutral" bagi sektor pembinaan yang tidak berubah susulan pengumuman tersebut.
Firma itu berkata dengan ketiadaan pembiayaan langsung kerajaan bagi MRT3 dalam Bajet 2022, risiko meningkat kepada penilaian sektor "Neutral" yang tidak berubah adalah mendapatkan lebih kejelasan dan penerimaan cadangan pembiayaan hibrid.
"Risiko menurun adalah kelewatan projek. Kami memberikan penilaian neutral kepada inisiatif infrastruktur baharu lain kerana impak ke atas nilai perolehan projek dijangka kurang ketara," katanya.
-- BERNAMA
#MRT3 #CGS #CIMB #pembiayaan hibrid
;