Modal insan tidak boleh dibina berasaskan paradigma materialisme - Penganalisis ekonomi

Irfan Faruqi
September 7, 2023 23:49 MYT
Afzanizam berkata pendekatan sistem pendidikan perlu dikaji semula untuk melahirkan modal insan berketerampilan. - Gambar fail/Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Modal insan yang amat diperlukan untuk menggerakkan ekonomi tidak boleh dibina berasaskan kepada fahaman pendidikan sebagai penentu nilai pendapatan.
Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pendekatan sistem pendidikan perlu dikaji semula untuk melahirkan modal insan berketerampilan.
“Kita sedia maklum bahawa untuk menggerakkan ekonomi kita perlukan modal insan. Tidak boleh hanya ada duit. Orang juga perlu ada. Orang itu pula perlu bijak dan sihat.
“Jadi, bercakap tentang modal insan yang amat berkait rapat dengan sistem pendidikan ini, saya melihat kita lebih kepada hendak mencapai modal insan yang pandai. Tetapi adakah pendekatan kita betul?
“Manakala, apabila kita sebut tentang universiti, kita tidak boleh anggap universiti ini sebagai kilang untuk menghasilkan pekerja. Jika begitu cara fikirnya, salah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
Afzanizam mengaitkan keperluan merombak sistem pendidikan dengan dapatan yang dinyatakan dalam dokumen Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 yang mendapati graduan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) tidak menepati sasaran 60 peratus.
Malah situasi bertambah buruk akibat pandemik COVID-19 dan jurang mutu pendidikan antara murid di bandar dan luar bandar bertambah melebar.
Beliau turut menyentuh mengenai trend generasi muda yang memilih untuk menyertai industri gig tanpa mempertimbang menyambung pengajian kerana hanya melihat kepada aspek materialisme semata-mata.
“Saya melihat data individu yang bekerja sendiri meningkat dengan mendadak. Mungkin ramai yang telah masuk dalam industri ekonomi gig.
“Bukan kita tidak bersetuju dengan hala tuju tersebut, tetapi yang saya risaukan persepsi yang menyatakan tanpa pendidikan sekalipun boleh menjana pendapatan yang memuaskan.
“Kita bimbang pemikiran sedemikian akan menyebabkan ketamadunan negara tercemar dan tidak mampu bangkit menjadi sebuah negara maju,” jelasnya.
#pendidikan #pandemik #STEM #ekonomi #Mohd Afzanizam Abdul Rashid
;