MN Holdings dapat kontrak bernilai RM23.8 juta daripada TNB
Bernama
September 8, 2023 08:45 MYT
September 8, 2023 08:45 MYT
KUALA LUMPUR: MN Holdings Bhd, melalui anak syarikat milik penuhnya, MN Power Transmission Sdn Bhd telah memperoleh kontrak kejuruteraan pencawang bernilai RM23.8 juta daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB).
Pakar kejuruteraan utiliti bawah tanah dan pencawang itu dalam satu kenyataan semalam berkata kontrak berkenaan adalah untuk mewujudkan pencawang masuk utama (PMU) 132 kilovolt (kV) baharu di Bekok, Johor.
Di bawah kontrak kejuruteraan pencawang, MN Power akan membekal, membina, menguji dan mentauliahkan stesen pensuisan 132 kV PMU Bekok termasuk kerja-kerja pencawang secara jarak jauh yang lengkap dengan kerja-kerja sivil utama dan semua yang berkaitan, kata MN Holdings.
Kontrak itu dijangka siap dalam tempoh 540 hari dari tarikh mula dilaksanakan.
Pengarah Eksekutif MN Holdings Datuk Dang Siong Diang berkata kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan pendapatan syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2024, ia juga menyumbang kepada pendapatan masa depan dan aset bersih sesaham kumpulan itu.
"Kontrak tersebut dijangka mengukuhkan dan menambah kepercayaan kepada rekod prestasi syarikat dalam industri utiliti bawah tanah dan kejuruteraan pencawang.
"Kami akan terus memanfaatkan kecekapan teras kami untuk membida lebih banyak kontrak," katanya.
-- BERNAMA