MITI terus usaha tingkat perdagangan, tarik pelaburan majukan sektor perindustrian

Bernama
Julai 19, 2024 04:42 MYT
Tengku Zafrul berkata, bagi tempoh separuh pertama 2024, KDNK meningkat sebanyak 5.0 peratus berbanding 4.1 peratus dalam tempoh yang sama tahun lepas. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industi (MITI) akan terus berusaha meningkatkan perdagangan, menarik pelaburan serta memajukan sektor perindustrian negara.
Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang memetik unjuran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata ekonomi Malaysia berkembang 5.8 peratus dalam suku kedua 2024, meningkat daripada 4.2 peratus pada suku sebelumnya.
"Pertumbuhan ini adalah yang tertinggi sejak suku keempat 2022 (7.4 peratus)," katanya menerusi hantaran di laman X beliau semalam.
Tengku Zafrul berkata bagi tempoh separuh pertama 2024, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat sebanyak 5.0 peratus berbanding 4.1 peratus dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Menurutnya, anggaran pertumbuhan bagi suku kedua ini adalah sejajar dengan petunjuk terkini seperti Indeks Pengeluaran Perindustrian, yang meningkat 6.1 peratus dan 2.4 peratus masing-masing pada April dan Mei 2024 berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Sektor Pembuatan turut mencatatkan peningkatan kepada 4.7 peratus daripada 1.9 peratus pada suku lepas.
Perdagangan Malaysia berkembang secara konsisten sejak Januari 2024 dan merekodkan kenaikan 8.7 peratus tahun ke tahun pada Jun 2024 kepada RM237.81 bilion.
Eksport mencatatkan pertumbuhan bagi bulan ketiga berturut-turut, meningkat 1.7 peratus kepada RM126.05 bilion.
Lebihan dagangan yang berjumlah RM14.29 bilion merupakan lebihan ke-50 bulan berturut-turut yang dicatatkan sejak Mei 2020.
-- BERNAMA
#Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz #sektor perindustrian #KDNK #pelaburan
;