MITI saran rakan IPEF bangunkan integrasi vertikal rantaian bekalan
Bernama
Mei 30, 2023 04:15 MYT
Mei 30, 2023 04:15 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyarankan agar semua rakan Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik bagi Kemakmuran (IPEF) untuk berusaha ke arah membina integrasi vertikal rantaian bekalan bagi mencapai pertumbuhan holistik dan progresif untuk semua.
Saranan itu dibuat oleh Timbalan Menteri MITI, Liew Chin Tong semasa Mesyuarat Menteri IPEF pada 27 Mei 2023 di Detroit, Amerika Syarikat.
Menurut MITI, perjanjian rantaian bekalan yang dicadangkan bertujuan untuk meningkatkan pemahaman kolektif tentang risiko rantaian bekalan dan bagaimana menguruskannya bagi menambahbaik daya tahan, kecekapan, produktiviti, kemampanan, ketelusan dan keterangkuman rantaian bekalan.
"Ini melibatkan antara lain, pengenalpastian sektor kritikal dan barangan utama oleh setiap negara rakan serta penubuhan badan rantaian bekalan yang berkaitan di peringkat serantau IPEF untuk memudahkan kerjasama dalam kalangan rakan kongsi," kata MITI dalam satu kenyataan pada Selasa.
Ia menambah 14 rakan IPEF mewakili 40 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) global dan 28 peratus daripada perdagangan barangan dan perkhidmatan global.
MITI berkata para menteri turut mengemaskini kemajuan rundingan dalam tiga tonggak IPEF lain iaitu perdagangan, ekonomi bersih dan ekonomi saksama, memfokuskan pada langkah-langkah untuk mencapai hasil dan faedah ketara yang kukuh untuk semua rakan.
Selain daripada Mesyuarat Peringkat Menteri IPEF, Liew turut mengetuai delegasi ke Mesyuarat Menteri Bertanggungjawab untuk Perdagangan (MRT) APEC ke-29 (25-26 Mei) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) pada 26 Mei.
Semasa Mesyuarat Peringkat Menteri CPTPP yang dihoskan oleh Menteri Perdagangan dan Pertumbuhan Eksport New Zealand Damien O'Connor, Liew mengulangi sokongan berterusan Malaysia untuk mengekalkan dan menegakkan standard tinggi Perjanjian CPTPP.
Timbalan Menteri itu turut menekankan kepentingan perkongsian maklumat dalam kalangan pihak CPTPP mengenai penggunaan dan manfaat yang ditawarkan di bawah perjanjian berkenaan khususnya integrasi perusahaan kecil dan sederhana ke dalam rantaian bekalan CPTPP untuk memacu pertumbuhan ekonomi.
- BERNAMA