MITI meterai surat sampingan tambah baik peruntukan MSBDF - Tengku Zafrul

Bernama
Oktober 30, 2023 05:15 MYT
Tengku Zafrul bertukar dokumen dengan Gan selepas Sesi Permukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura di Istana, sambil disaksikan oleh Anwar dan Lee, di Singapura, 30 Okt 2023. - Foto Facebook Tengku Zafrul
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan dan Perdagangan Antarabangsa (MITI) pada Isnin memeterai surat sampingan untuk menambah baik peruntukan dalam Perjanjian bagi Tabung Pembangunan Perniagaan Negara Ketiga Malaysia-Singapura (MSBDF).
Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menandatangani surat tersebut bersama-sama dengan rakan sejawatnya Menteri Perdagangan dan Perusahaan (MTI) Singapura Gan Kim Yong dan disaksikan oleh Perdana Menteri kedua-dua negara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lee Hsien Loong.
MSBDF dimeterai pada 2004 untuk mengeratkan kerjasama antara sektor swasta Malaysia dan Singapura dengan meneroka peluang perniagaan dan pelaburan di negara ketiga.
"Setelah hampir 20 tahun pemeteraian perjanjian tersebut, semasa sesi Dialog Peringkat Menteri Tahunan Pertama (1st AMD) yang diadakan antara MITI dan MTI Singapura pada 14 Jun, 2023 di Kuala Lumpur, saya bersama Gan Kim Yong bersetuju memperluaskan skop pembiayaan dana tabung tersebut untuk merangkumi projek yang dilaksanakan di Malaysia dan Singapura.
"Penambahbaikan ini akan meningkatkan potensi kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara terutamanya dalam menggalakkan perdagangan rentas sempadan.
"Selain itu, ia juga akan menggalakkan sektor swasta dari kedua-dua negara meneroka peluang pasaran yang lebih luas dalam industri berkaitan ekonomi digital dan ekonomi hijau," kata Tengku Zafrul dalam satu kenyataan semalam.
Sementara itu satu Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai antara SME Corporation Malaysia (SME Corp) dan Enterprise Singapore (ESG) mengenai pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia dan Singapura.
SME Corp dalam satu kenyataan berkata kerjasama itu akan merangkumi pertukaran dasar, kepakaran dan maklumat, semuanya menjurus ke arah meningkatkan daya saing PKS mikro di Singapura dan juga Malaysia pada skala global.
"Selain itu, ia akan menggalakkan pembangunan keusahawanan dan pertukaran perniagaan timbal balik antara kedua-dua negara, menyokong asas manfaat bersama dan timbal balik," katanya.
Sementara itu, kedua-dua pemimpin negara itu dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Isnin berkata penambahbaikan MSBDF akan menyediakan sokongan pembiayaan kepada perusahaan Singapura dan Malaysia untuk bersama-sama mengejar peluang di negara ketiga dan menjalankan perintis bersama di negara masing-masing, terutamanya dalam bidang baru muncul seperti ekonomi hijau dan ekonomi digital.
"Para pemimpin (juga) mengambil maklum tentang MoU Kerjasama Pembangunan PKS Malaysia dan PKS yang ditandatangani antara Enterprise Singapore dan SME Corporation Malaysia.
"Para pemimpin juga amat mengalu-alukan kemajuan yang dicapai dalam MoU mengenai Perlindungan Data Peribadi, Keselamatan Siber dan Ekonomi Digital yang ditandatangani pada Januari 2023.
"Instrumen ini menunjukkan keyakinan kedua-dua negara terhadap ekonomi masing-masing dan komitmen untuk mengukuhkan hubungan ekonomi dua hala," kata kenyataan itu.
-- BERNAMA
#kerjasama ekonomi #Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz #Malaysia-Singapura #MSBDF
;