MITI lulus 2,700 projek pembuatan, hanya 2 peratus dibatalkan

Astro Awani
Julai 18, 2024 07:40 MYT
Tengku Zafrul berkata, antara sebab projek tersebut tidak berjalan adalah kerana syarikat terbabit mengubah strategi atau tidak mahu lagi meneruskan projek berkenaan.
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah meluluskan 2,700 projek pembuatan dari tahun 2021 hingga suku pertama tahun 2024.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, lebih 80 peratus daripada projek itu sudah bermula dan telah dilaksanakan.
Begitupun, katanya, terdapat dua peratus projek yang diluluskan kerajaan telah dibatalkan dan menurutnya, angka itu agak rendah berbanding projek yang sudah berjalan.
“MITI telah meluluskan hampir 2,700 projek pembuatan daripada 2021 hingga suku pertama 2024.
“Sebanyak 2,100 projek ini sebenarnya telah dimulakan atau telah dilaksanakan. Ini dapatan daripada pengesanan kami.
“Jadi, lebih kurang 80 peratus… sebab biasanya ambil masa dua tahun untuk projek tersebut siap. Jadi, 80 peratus sehingga semalam, sejak tahun 2021 telah dilaksanakan,” katanya.
Menurutnya, antara sebab projek tersebut tidak berjalan adalah kerana syarikat terbabit mengubah strategi atau tidak mahu lagi meneruskan projek berkenaan.
Beliau berkata demikian Sidang Media Pengumuman Kad Laporan Suku Kedua Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di Kuala Lumpur pada Khamis.
#MITI #Tengku Zafrul #kelulusan projek #pelaburan