MITI kekalkan unjuran pertumbuhan pelaburan pada 5.0 peratus tahun ini - Tengku Zafrul

Bernama
Julai 18, 2024 15:00 MYT
Tengku Zafrul berkata sasaran yang ditetapkan oleh MIDA itu sejajar dengan sasaran pertumbuhan KDNK. - Gambar Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengekalkan unjuran pertumbuhan pelaburan sebanyak 5.0 peratus pada tahun ini walaupun dalam persekitaran pemulihan ekonomi domestik.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata sasaran yang ditetapkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) itu sejajar dengan sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
"Pada suku pertama 2024, kita telah membuat pengumuman, peningkatan (pelaburan) sebanyak 13 peratus berbanding suku tahun yang sama pada tahun lepas. Buat masa ini, (sasaran pelaburan) secara rasminya pada 5.0 peratus tetapi kami akan menyemak semula ini berdasarkan (keperluan) perancangan.
"Pada masa ini, 5.0 peratus (sasaran) berdasarkan kaitan dengan sasaran KDNK antara 4.0 peratus dan 5.0 peratus tetapi kita akan lihat, ada perkara di luar kawalan kita," katanya kepada pemberita selepas pembentangan Kad Laporan MITI bagi suku kedua 2024 di sini hari ini.
Mengenai masa depan, katanya sektor ekonomi digital dan ekonomi hijau akan menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia, selain daripada sektor perkhidmatan.
-- BERNAMA
#KDNK #MITI #pertumbuhan ekonomi Malaysia #MIDA