MITI janji bantu pereka tempatan eksport produk ke seluruh dunia

Bernama
Disember 11, 2018 05:23 MYT
ISHAM: Selagi peserta industri terus membuat produk dengan reka bentuk yang baik, MITI akan menggunakan semua rangkaiannya untuk membantu mereka menjualnya di seluruh dunia. - Gambar fail
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berjanji untuk membantu peserta industri reka bentuk tempatan dalam mengeksport dan memasarkan produk mereka melalui 75 pejabatnya di seluruh dunia.
"Selagi peserta industri terus membuat produk dengan reka bentuk yang baik, MITI akan menggunakan semua rangkaiannya untuk membantu mereka menjualnya di seluruh dunia," kata Ketua Setiausaha MITI, Datuk Isham Ishak.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Reka Bentuk Baik Malaysia (MGDA) 2017/2018 bagi pihak Menteri MITI, Datuk Darell Leiking di sini malam tadi.
Sementara itu, dalam ucapannya yang disampaikan Isham, Leiking menggesa pereka tempatan untuk terus bersaing dengan jenama produk antarabangsa untuk memberi sumbangan yang lebih besar kepada ekonomi Malaysia.
"Sebagai contoh, industri kreatif Thailand menyumbang AS$49 bilion (AS$1= RM4.18) kepada keluaran dalam negara kasar pada 2014.
"Sektor reka bentuk adalah industri kreatif kedua terbesar di negara tersebut menyumbang 23 peratus nilai nominal industri kreatif," katanya.
Dalam erti kata lain, industri reka bentuk dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, dan dengan itu juga dikenali sebagai ekonomi reka bentuk, tambahnya.
-- BERNAMA
#Datuk Darell Leiking #ekonomi #eksport #industri kreatif #industri reka bentuk #Isham Ishak #jenama #Majlis Anugerah Reka Bentuk Baik #menteri #MGDA #MITI #pereka #Thailand
;