MITI harap sektor ekonomi diberi tumpuan pada #Bajet2016
Muhafandi Muhamad
Oktober 11, 2015 18:34 MYT
Oktober 11, 2015 18:34 MYT
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berharap Bajet 2016 yang akan dibentangkan 23 Okt depan tidak mengenepikan sektor ekonomi termasuk dalam sektor perindustrian dan perusahaan.
Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pihaknya berharap sektor ekonomi diberi perhatian lebih supaya dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.
"Sudah pasti saya selaku Menteri MITI nak lihat perkembangan industri perdagangan. Promosi perlu dipertingkat untuk sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
"Galakan ini penting untuk pertumbuhan ekonomi. Kita harap agensi-agensi penggerak ekonomi tak diketepikan pada bajet ini," katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Kilang Penapisan Minyak Sawit Raya Oil Sdn Bhd di sini, hari ini.
Mustapa turut mengulas, walaupun intipati bajet merangkumi banyak penumpuan termasuk keselamatan, sosial dan lain-lain, tumpuan kepada ekonomi perlu diberikan memandangkan keadaan persekitaran ekonomi ketika ini amat mencabar.
"Harapan saya adalah untuk sektor ekonomi diberi perhatian lebih supaya kita dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi Malaysia," katanya.
Ujarnya lagi, dalam kelembapan ekonomi global, sudah pasti promosi dan usaha mempertingkatkan dan merancakkan ekonomi harus diberi penekanan yang lebih.