MITI Day Selangor: 22,000 pekerjaan, latihan industri menanti belia, pencari kerja
Hafizi Rosli
Ogos 5, 2023 14:10 MYT
Ogos 5, 2023 14:10 MYT
SHAH ALAM: Hampir 22,000 peluang pekerjaan dan latihan industri kepada belia dan pencari kerja ditawarkan di MITI Day Selangor anjuran Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata sebanyak 30 syarikat bakal menawarkan hampir 2,000 peluang pekerjaan di sektor pengurusan, elektrik dan elektronik, peranti perubatan, automotif, aeroangkasa dan farmaseutikal.
Selain itu, katanya sebanyak 20,000 peluang latihan industri ditawarkan di bawah program Academy in Industry (Ail) oleh 11 syarikat semikonduktor, automotif serta sains hayat.
"Kita ada hampir 22,000 peluang pekerjaan dan latihan industri bagi belia dan pencari kerja di Selangor ini. Ada ekplorasi kerjaya dan ada juga latihan industri di bawah Ail yang menawarkan pelbagai peluang latihan.
"Kita ada 30 syarikat asing dan tempatan yang mencari pekerja daripada sektor automotif, kenderaan elektrik, eletrikal dan elektronik, teknologi maklumat, kimia, petrokimia, farmaseutikal dan makanan serta minuman.
"Antara pekerjaan yang ditawarkan adalah seperti juruteknik, jurutera, eksekutif, pengurusan dan sebagainya untuk beri peluang kepada anak Selangor," jelas Zafrul ketika berucap di MITI Day Selangor di Shah Alam pada Sabtu.
MITI Day Selangor yang berlangsung di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam itu turut mendapat sokongan 14 agensi di bawahnya dengan menyasarkan seramai 13,000 pengunjung dari sekitar Shah Alam dan Lembah Klang.
Dianjurkan sejak 2016, program ini bertujuan mendekatkan rakyat kepada MITI dan bagi meningkatkan perhatian pemain industri tempatan atau PMKS terhadap peluang-peluang perniagaan melalui sektor pelaburan, perindustrian dan perdagangan di Malaysia.
Program ini turut mendapat sokongan padu daripada rakan strategik iaitu Kerajaan Negeri Selangor dan Majlis Bandaraya Shah Alam.
MITI Day Selangor juga menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti jualan harga kilang, Bintang MITI DAY, pameran kenderaan elektrik (EV), gerai-gerai usahawan PKS dan kehadiran selebriti tempatan.