MITI berjaya raih potensi pelaburan RM24 bilion dari Korea Selatan

Bernama
Mac 19, 2023 17:37 MYT
Tengku Zafrul turut berkongsi hasrat syarikat-syarikat Korea Selatan yang amat berminat terhadap Malaysia selain menjadi pemangkin utama dalam mengembangkan hubungan dagangan dua hala. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Misi Perdagangan dan Pelaburan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) ke Korea Selatan baru-baru ini, berjaya menjana potensi pelaburan yang mencecah nilai RM24 bilion selain eksport produk dan perkhidmatan bernilai RM4.24 bilion.
Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah mengetuai misi berkenaan pada 14-17 Mac lepas yang merupakan sebahagian daripada usaha kementerian untuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti selain meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan global bernilai tinggi.
Dalam kenyataan hari ini, Tengku Zafrul turut berkongsi hasrat syarikat-syarikat Korea Selatan yang amat berminat terhadap Malaysia selain menjadi pemangkin utama dalam mengembangkan hubungan dagangan dua hala serta pelaburan kedua-dua negara.
Ini terutamanya membabitkan sektor teknologi mampan dan hijau seperti penyimpanan tangkapan karbon, tenaga hidrogen serta kenderaan elektrik.
"Kemampuan daya saing Malaysia dari segi ekonomi di masa depan akan bergantung sama ada kita mampu mendapat akses kepada serta mahir dalam teknologi hijau.
"Sehubungan itu, adalah penting bagi Malaysia untuk bekerjasama dengan pelabur yang dapat membantu kita meraih pertumbuhan dalam bidang yang menyokong agenda kelestarian kita (dan) saya juga berharap Korea Selatan dapat bekerjasama erat supaya kita dapat melakukan perjalanan lebih mantap bersama-sama untuk berdepan cabaran yang mendatang," kata beliau.
Menurut MITI, projek pelaburan baharu yang dibincangkan dalam misi itu melibatkan pihak seperti Samsung Engineering, SKC, Lotte Fine Chemicals, Hyundai, COWAY dan konsortium syarikat Korea.
Malah, Lotte Energy Materials serta Samsung Engineering dan POSCO Holdings telah memberi komitmen untuk menyuntik pelaburan baharu di Malaysia selain aspek pemindahan teknologi baharu, mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi, pembangunan bakat atau pekerja, penciptaan ekosistem serta kerjasama dengan universiti dan industri tempatan, khususnya melibatkan perusahaan kecil dan sederhana.
Dalam misi itu juga, Tengku Zafrul sempat menemui rakan sejawatannya iaitu Menteri Perdagangan Korea Selatan Dukgeun Ahn dan membincangkan isu seperti cadangan menyambung semula rundingan perjanjian perdagangan bebas dua hala antara kedua-dua negara.
MITI berkata, perbincangan mereka turut menyentuh usaha mewujudkan dialog kerjasama perdagangan peringkat menteri selain potensi kerjasama dalam ekonomi digital, ekonomi hijau, tenaga boleh diperbaharui, rantaian bekalan dan kerjasama ekonomi di bawah platform Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
Misi tersebut turut melibatkan acara seperti seminar perniagaan, sesi meja bulat pelabur modal teroka dan resepsi anjuran kementerian dan kedutaam Malaysia di Seoul bersempena ulang tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur antara kedua-dua negara, tahun ini.
Lebih daripada 50 kapten atau pemimpin industri kedua-dua negara telah menyertai sesi seminar perniagaan di Seoul manakala lebih 20 pelabur modal teroka Korea Selatan terlibat dalam program meja bulat dan menyatakan hasrat untuk membuka perniagaan berteraskan robotik serta kecerdasan buatan (AI) di Malaysia.
Pada program meja bulat itu, Tengku Zafrul yang bertindak sebagai pengerusi, telah menyaksikan sesi pertukaran empat memorandum persefahaman dengan beberapa pelabur modal teroka Korea Selatan yang memberi komitmen pelaburan sehingga US$400 juta (US$1=RM4.48) di Malaysia.
Selain itu, majlis resepsi MITI dan kedutaan Malaysia pula dihadiri oleh Menteri Luar Korea Selatan Park Jin dan timbalannya, Lee Do-hoon selain kalangan komuniti perniagaan, pegawai kerajaan kedua-dua negara serta profesional dan penuntut Malaysia yang berada di Korea Selatan.
-- BERNAMA
#pelaburan #MITI #Korea Selatan #Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
;