MITI akan tubuh jawatankuasa percepat pelaksanaan komitmen FDI, DDI
Bernama
Oktober 9, 2023 07:15 MYT
Oktober 9, 2023 07:15 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan dan Perdagangan Antarabangsa (MITI) akan menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Penyelarasan Pelaburan dan Perdagangan (JTPPP) untuk memastikan semua komitmen berkaitan perdagangan serta pelaburan langsung asing dan domestik (FDI dan DDI) dilaksanakan secepat mungkin.
Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata jawatankuasa tersebut akan melapor secara terus kepada Majlis Pelaburan Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Ini amat penting dari segi ketelusan dan akauntabiliti MITI dan agensi-agensinya. Juga sebab pelaburan dan perdagangan adalah enjin pertumbuhan Malaysia.
"Bagi saya, tidak cukup untuk kita mengumumkan sahaja, apa yang kita dapat dari segi komitmen pelaburan, FDI dan DDI dan eksport, mesti dilaksanakan seberapa segera yang boleh," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran aplikasi super TradeSwift DAGANGNET, di sini, semalam.
Menurutnya, terma rujukan (TOR) bagi Jawatankuasa itu sedang dimuktamadkan oleh ketua setiausaha (KSU) dan akan diumumkan kemudiannya.
Terdahulu dalam ucapannya, Tengku Zafrul berkata aplikasi super TradeSwift DAGANGNET itu bertujuan untuk merevolusikan proses perdagangan bagi membantu pengguna melaksana dan mengakses dokumentasi perdagangan mereka pada bila-bila masa, di mana sahaja dalam masa nyata.
"Proses perdagangan melibatkan banyak pertukaran dokumen dan sebelum ini dilakukan secara fizikal atau manual. Dalam persekitaran sedemikian, dokumen pendua diperlukan oleh pihak berkuasa dan agensi yang berbeza untuk kelulusan, yang boleh melambatkan operasi dalam komuniti perdagangan," katanya.
Tengku Zafrul berkata, pengenalan e-perkhidmatan pemudahan perdagangan akan menyaksikan pertukaran dokumen perdagangan dalam kalangan perniagaan dan pihak berkuasa serta agensi yang memberi kelulusan dilakukan secara elektronik yang mana boleh menjimatkan masa dan kos, mendapat kelebihan kompetitif serta menambah baik kecekapan dan produktiviti.
"Pada skala yang lebih besar, faedah yang diraih oleh komuniti perdagangan boleh memberi sumbangan positif dalam memudahkan urusan menjalankan perniagaan bagi negara dan daya saing sebagai negara perdagangan, dan seterusnya keseluruhan ekonomi," katanya.
Aplikasi super pemudahan perdagangan terangkum itu yang dilancarkan oleh Dagang NeXchange Bhd (DNeX) melalui anak syarikat milik penuhnya Dagang Net Technologies Sdn Bhd, menawarkan ciri nilai tambah sebagai tambahan kepada e-perkhidmatan berasaskan web syarikat, termasuk yang ditawarkan melalui tetingkap tunggal kebangsaan (NSW) bagi kemudahan perdagangan.
Ia juga menawarkan kepada pengilang, perusahaan kecil dan sederhana, pengimport dan pengeksport, ejen perkapalan dan penghantaran serta penghantar barang kemudahan melaksanakan pelbagai perkhidmatan pemudah cara perdagangan pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja dalam masa nyata.
Pengerusi eksekutif DNeX Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata dengan menggabungkan rangkaian perkhidmatan perdagangan ke dalam satu platform aplikasi mudah alih, aplikasi super itu memudahkan proses perdagangan dan menambah baik masa pusing ganti, yang membawa kepada kemudahan menjalankan perniagaan.
"Direka bentuk sebagai pusat sehenti untuk semua perkhidmatan logistik dan perdagangan rentas sempadan, ia akan membantu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab perdagangan utama dan maju di rantau ini.
"Pelancaran TradeSwift DAGANGNET ialah langkah pertama daripada banyak langkah yang kami lakukan untuk terus meningkatkan tawaran perkhidmatan kami," katanya.
Syed Zainal berkata kumpulan itu memberi tumpuan untuk mengembangkan keupayaannya dalam bidang teknologi baharu merangkumi aplikasi generasi akan datang, kecerdasan buatan (AI) pengkomputeran awan, analisis data besar, Revolusi Perindustrian 4.0 dan perkhidmatan penyepaduan sistem.
"Memanfaatkan keupayaan teknikal dan kepakaran luas kumpulan dalam pemudahan perdagangan, kami berhasrat untuk membawa teknologi ini ke negara lain," katanya.
-- BERNAMA