MITI akan perkemas peranan 31 agensi penggalakan, tingkatkan usaha pelabur
Bernama
Julai 3, 2023 05:15 MYT
Julai 3, 2023 05:15 MYT
SUBANG JAYA: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang mengusahakan satu inisiatif bagi memperkemas aspek peranan serta fungsi kesemua 31 agensi penggalakan pelaburan (IPA) di negara ini.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata pihak Majlis Pelaburan Negara juga telah mengakui ancaman luar ke atas daya saing Malaysia dan memberi kepercayaan kepada MITI untuk meningkatkan aspek kemudahan pelabur menjalankan perniagaan dengan memperkemas serta melaras semula landskap IPA.
Jelas beliau, apa yang penting adalah tumpuan MITI untuk memberi kemudahan kepada pelabur asing dan tempatan menikmati perjalanan pelaburan yang lancar menerusi peranan serta tanggungjawab jelas kalangan pihak yang terbabit dalam aspek memberi kelulusan berkaitan.
"Walaupun kita baru saja memulakan inisiatif ini, saya mempelawa kedua-dua pelabur sedia ada dan baharu untuk berkongsi pengalaman serta cadangan yang membolehkan kita mengatasi kekangan (yang wujud), sekali gus menambahbaik perjalanan mereka di Malaysia.
"MITI juga sentiasa terbuka kepada sebarang maklum balas yang bersifat membina," katanya pada majlis pengumuman usaha sama Proton dan syarikat alat ganti kenderaan terbesar Thailand AAPICO Hitech Public Company Limited (AAPICO) di sini, pada Isnin.
Mengulas selanjutnya, Tengku Zafrul berkata di masa hadapan, proses bagi perjalanan pelabur yang diperkemas, dipertingkat dan ditambahbaik itu akan membolehkan MITI serta agensi-agensinya di kedudukan lebih baik serta bersedia untuk menempatkan Malaysia sebagai destinasi mesra atau propelaburan, perdagangan dan industri.
Selain itu, Dasar Automotif Nasional (NAP) yang diterajui oleh MITI, akan memastikan industri terbabit terus berkembang pesat dalam tahun-tahun akan datang berdasarkan matlamat dan sasaran lebih jelas dari segi hala tuju, kata beliau.
Kejayaan NAP juga, katanya, jelas terbukti menerusi kemajuan signifikan sektor automotif dalam pembangunan kapasiti pelbagai pelbagai subbidang kejuruteraan automotif seperti kejuruteraan mekanikal, elektrikal, elektronik, perisian dan keselamatan.
Malah, ini telah menjadikan Malaysia sebagai pangkalan menarik untuk kalangan pengeluar automotif global, kata Tengku Zafrul.
"Pada masa ini, terdapat lebih daripada 30 pengeluar dan pemasang kenderaan yang memanfaatkan kemudahan menjalankan perniagaan di Malaysia serta ekosistem automotif yang memberangsangkan untuk memenuhi peningkatan permintaan domestik dan serantau bagi jenama masing-masing.
"Kehadiran pengeluar-pengeluar ini turut memberi kesan limpahan positif terhadap rantaian bekalan domestik yang diwakili oleh 641 pembuat komponen di negara ini," katanya.
Menyedari kepentingan itu, Tengku Zafrul memberi jaminan bahawa MITI akan terus menumpukan usaha bagi memajukan sektor berkenaan.
NAP berperanan sebagai pelan tindakan bagi menempatkan Malaysia sebagai hab automotif serantau untuk kenderaan jenis cekap tenaga (EEV), termasuk kenderaan elektrik (EV) dengan penekanan kukuh berkaitan pembangunan kenderaan generasi akan datang (NxGV), mobiliti sebagai satu perkhidmatan (MaaS) dan integrasi teknologi Industri 4.0.
Walaupun sektor automotif menyumbang sebanyak RM64.5 bilion pada 2022, NAP menyasarkan untuk meningkatkan sumbangan sektor berkenaan kepada RM104.2 bilion kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang 2030.
"Kita turut menyasarkan RM12.3 bilion nilai eksport kenderaan diimport sepenuhnya (CBU) menjelang 2030," kata Tengku Zafrul.
Sehubungan itu, beliau berkata, MITI berharap agar Proton akan terus berperanan sebagai pemain utama dalam membantu negara mencapai sasaran NAP, terutama dalam pengeluaran EV serta EV yang dilengkapi dengan teknologi pintar.
"Di samping itu, kita juga berharap Proton serta rakan strategiknya akan bekerjasama erat dengan MITI untuk merealisasikan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 yang bermatlamat mentransformasi industri pengeluaran serta memacu Malaysia ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan dan inklusif.
-- BERNAMA