Misi sehari MITI ke Singapura jana komitmen FDI RM2.8 bilion

Firdaus Azil
Januari 12, 2024 10:30 MYT
Tengku Zafrul berkata, Singapura memandang Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang berdaya maju kerana pelbagai faktor, termasuk kedaulatan undang-undang Malaysia. - Gambar fail Bernama
PUTRAJAYA: Pertemuan di antara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan dua syarikat sewaktu misi sehari ke Singapura pada Khamis, telah berjaya mewujudkan komitmen nilai pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM2.8 bilion.
MITI dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, syarikat pertama iaitu Equinix merupakan syarikat infrastruktur digital global yang menghubungkan organisasi-organisasi industri terkemuka di dunia yang mengutamakan digital.
Melalui jangkauan globalnya, MITI berkata, Equinix membantu organisasi mempercepat keunggulan kompetitif di seluruh pendukung digital termasuk awan, jaringan, penyimpanan, komputasi serta perisian.
“Dengan 52 pusat data merentasi 13 bandar di rantau Asia Pasifik, termasuk Australia, China, Hong Kong, India, Jepun, Korea, dan Singapura, Equinix merancang untuk membuka pusat rangkaian data padat rangkaian di Johor dan Kuala Lumpur bagi menyediakan platform saling berkaitan yang menawarkan akses kepada banyak rangkaian antarabangsa dan serantau yang menghubungkan Asia-Pasifik,” menurut kenyataan itu lagi.
Selain itu MITI berkata, Menterinya, Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz juga telah bertemu dengan wakil syarikat pengeluar makanan global yang sudah pun mempunyai pangkalan di Malaysia, dengan rancangan untuk mengembangkan dan mempelbagaikan portfolio produknya.

Pelaburan banyak, tapi harga barang makin naik, Melayu makin miskin, warga asing makin berlambak? Betul ke? Apa usaha Kerajaan untuk menangani isu-isu ini? #melayu #pelaburan #inflasi #wargaasing #MITI #TZA pic.twitter.com/oLahSEzKLy

— Tengku Zafrul (@tzafrul_aziz) January 11, 2024
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Syarikat itu bakal menubuhkan kemudahan tercanggih dengan barisan pembuatan termaju, dikuasakan oleh pemboleh Industri 4.0 seperti Internet Kebendaan (IoT) dan robotik untuk fasiliti pengeluaran ramuan makanan bersepadunya.
“Kami berbesar hati kerana syarikat-syarikat ini telah memilih Malaysia sama ada untuk menubuhkan atau mengembangkan perniagaan mereka. Komitmen FDI berjumlah RM2.8 bilion merupakan satu lagi manifestasi kepada usaha Malaysia dalam memudahkan perjalanan pelabur, dan memudahkan realisasi pelaburan mereka.
“Ini merupakan permulaan yang baik bagi tahun ini, dan MITI, bersama-sama dengan agensinya, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan menjadi lebih strategik dalam menarik pelaburan yang betul daripada peningkatan dalam aliran ke ASEAN.
“Pelaburan ini bukan sahaja perlu bagi mengembangkan ekonomi kita, tetapi juga bertujuan untuk membangunkan Perusahaan Kecil dan Sederhana, serta mewujudkan pekerjaan untuk rakyat kita,” kata Tengku Zafrul dalam kenyataan tersebut.
Dalam masa sama, Tengku Zafrul berkata, Singapura memandang Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang berdaya maju kerana pelbagai faktor, termasuk kedaulatan undang-undang Malaysia, lokasi serantau yang strategik tenaga kerja yang boleh dikuasai dan kedudukan penting dalam banyak rantaian bekalan serantau dan global.
Dalam pada itu MITI berkata, antara Januari dan September 2023, projek pelaburan dari Singapura bernilai RM20.4 bilion telah diluluskan, menjadikannya sumber FDI kedua terbesar dalam tempoh tersebut.
Misi pelaburan tersebut, jelas kementerian lagi, yang turut dihadiri pegawai kanan daripada MITI dan dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), merupakan satu pencapaian penting ke arah merealisasikan matlamat Malaysia untuk menjadi hab inovasi global berteknologi tinggi dengan ekosistem pelaburan yang lestari dan mampan.
#Tengku Zafrul #pelaburan langsung asing #MITI #Singapura
;