Misi perdagangan ke Turkiye jana nilai dagangan bernilai RM1.1 bilion - SME Corp

Bernama
April 3, 2023 22:14 MYT
Misi ke Istanbul dan Sakary yang berlangsung dari 26 Februari hingga 6 Mac 2023 telah diketuai oleh SME Corporation Malaysia (SME Corp). - Unsplash
KUALA LUMPUR: Misi perdagangan ke Turkiye melibatkan 10 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia baru-baru ini telah berjaya menjana jumlah nilai dagangan sebanyak RM1.1 bilion, di sebalik kesan pandemik dan cabaran global.
Misi ke Istanbul dan Sakary yang berlangsung dari 26 Februari hingga 6 Mac 2023 telah diketuai oleh SME Corporation Malaysia (SME Corp), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Dewan Perniagaan dan Industri Islam Antarabangsa Malaysia (MIICCI)).
"Sepanjang misi sembilan hari itu, sebanyak 97 siri perbincangan perniagaan mengenai penyumberluaran produk dan perkhidmatan telah diadakan, melibatkan 72 syarikat Turki dan 10 syarikat Malaysia dalam sektor makanan dan minuman, farmaseutikal, penjagaan kesihatan peribadi, minyak dan gas serta sistem solar," kata SME Corp dalam satu kenyataan pada Isnin.
Inisiatif tersebut membuktikan usaha berterusan Malaysia untuk meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan global bernilai tinggi dengan mewujudkan peluang akses pasaran kepada usahawan tempatan untuk meneroka pasaran Turkiye.
Minat mendalam yang ditunjukkan oleh syarikat Turkiye semasa misi perdagangan tersebut menjadi pemangkin utama dalam menyokong pengantarabangsaan PKS kedua-dua negara.
Delegasi Malaysia juga diberikan pendedahan mengenai peraturan dan undang-undang import Turkiye, keperluan perniagaan serta ciri-ciri pasaran tempatan melalui siri seminar, lawatan tapak, sesi pemadanan perniagaan dan peluang rangkaian.
Pihak yang terlibat dari Turkiye adalah Small and Medium Enterprise Development Organisation of Turkiye (KOSGEB), Turkiye Halal Certification Body (GIMDES), Independent Industrialist and Businessmen's Association (MUSIAD), Dewan Perdagangan GEBZE, Dewan Perdagangan KOCAELI dan Dewan Perdagangan SAKARYA.
Misi itu juga menyaksikan beberapa komitmen Usahasama (JV) dipersetujui melibatkan PS Polypack Sdn Bhd dengan Pimtas Plastik, Agym Nutrition Sdn Bhd dengan Yeni Elif dan Avecena Glove Sdn Bhd dengan Gebze Guzeller serta Memorandum Persefahaman (MoU) antara Petro Teguh (M) Sdn Bhd dan Asas Corporation dari Turkiye.
Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy berkata: "Misi ini adalah sebahagian daripada usaha SME Corp. Malaysia untuk meningkatkan keupayaan praeksport PKS serta mewujudkan lebih banyak peluang untuk komuniti perniagaan Malaysia menerokai pasaran global."
SME Corp juga menawarkan beberapa inisiatif lain untuk menyokong pengantarabangsaan PKS melalui Program Pengukuhan Eksport PKS yang telah dibuka untuk permohonan mulai 15 Mac 2023
Program berkenaan menggalakkan transformasi PKS ke pasaran global dengan mewujudkan rangka kerja berasaskan pasaran melalui penyediaan bantuan kewangan dalam bentuk geran padanan untuk pelbagai aktiviti berkaitan eksport.
"Bagi meningkatkan penjenamaan di peringkat global, SME Corp juga melaksanakan program National Mark of Malaysian Brand (NMMB), satu program pensijilan yang melambangkan kualiti, kecemerlangan dan keunggulan produk dan perkhidmatan PKS Malaysia yang setanding dengan standard antarabangsa," kata Rizal.
Malaysia dan Turkiye menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Turkiye (MTFTA) yang dimeterai pada 1 Ogos 2015.
Setakat Disember 2022, kadar purata pertumbuhan tahunan perdagangan dua hala antara Malaysia dan Turki adalah 34 peratus, menunjukkan masih banyak ruang untuk sektor perniagaan memanfaatkan MTFTA.
Pada tahun 2022, Malaysia merupakan rakan dagang terbesar Turkiye di ASEAN manakala Turkiye merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia, destinasi eksport terbesar dan sumber import keenam terbesar dalam kalangan negara Asia Barat dengan jumlah eksport Malaysia ke Turki berjumlah RM17.39 bilion pada 2022.
-- BERNAMA
#perdagangan #Malaysia #Turkiye #SME Corp #perusahaan kecil dan sederhana
;