Misi MDEC bawa bakat luar biasa untuk perkasa ekonomi digital

Astro Awani
Januari 21, 2021 15:33 MYT
MDEC yakin struktur kepemimpinan baharu akan meningkatkan capaian dan membolehkan visi teknologi 4IR dicapai.
CYBERJAYA: Dalam meraikan 25 tahun memimpin industri teknologi dan digital, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menyedari bahawa transformasi dan penerapan digital sangat penting, terutama untuk masyarakat dan industri memanfaatkan peluang baharu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Surina Shukri berkata, MDEC yakin struktur kepemimpinan baharu akan meningkatkan capaian dan membolehkan visi teknologi 4IR dicapai, sekali gus membawa kepada kemakmuran bersama atau Malaysia 5.0.
"Misi 'Reinvent MDEC' termasuklah membawa bakat luar biasa yang mempunyai pengalaman dalam sektor swasta dan awam, ditambah dengan pendekatan dan pemikiran baharu.
"Objektifnya jelas, iaitu memperhebatkan inisiatif MDEC untuk mengembangkan ekonomi digital negara, terutama dalam mengatasi cabaran yang boleh mengganggu peluang dalam norma baharu ini.
"Tumpuan akan diberikan kepada mengaktifkan kemahiran digital dan pekerjaan untuk orang ramai, memudahkan perniagaan digital dan teknologi, mempercepat penggunaan digital dan mendorong pelaburan digital," kata Surina.
"MDEC menyedari dan telah mengambil tindakan untuk membawa bakat dan teknokrat yang berfokus pada industri untuk membantu Malaysia membuat transformasi digital ke arah 4IR dan menuju ke arah visi Malaysia 5.0 yang akan memberi manfaat kepada banyak pihak," kata Pengerusi MDEC, Datuk Dr Rais Hussin.
MDEC juga mengulangi komitmen untuk terus menerima perubahan, menarik bakat berprestasi tinggi dan mengalu-alukan tenaga kerja baharu untuk mentransformasikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat dengan ketelusan, kebolehpercayaan dan integriti.
#MDEC #Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia #pelaburan #Malaysia #ekonomi #MDEC 25 tahun #industri teknologi dan digital
;