Minyak sawit Malaysia tembusi pasaran baharu dengan penerimaan global lebih besar - Zuraida
Bernama
September 14, 2022 20:47 MYT
September 14, 2022 20:47 MYT
KUALA LUMPUR: Minyak sawit Malaysia berjaya menembusi pasaran global baharu terutamanya di tiga negara iaitu, Estonia, Republik Czech dan Hungary yang telah mula membeli komoditi tersebut sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin berkata sejak Januari hingga Julai tahun ini, Estonia mengimport 2,501 tan minyak sawit Malaysia bernilai RM20.22 juta, Republik Czech mengimport 95 tan bernilai RM0.88 juta dan Hungary mengimport 853 tan bernilai RM6.73 juta.
Beliau berkata ini membuktikan bahawa komoditi utama negara mendapat pengiktirafan dan penerimaan antarabangsa yang lebih tinggi, seiring dengan matlamat kempen "Gerakan Global untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit.
"Saya menyambut baik situasi ini setelah melihat usaha agresif dilakukan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) untuk memasarkan minyak sawit negara di peringkat global, serta menangkis mitos yang dimainkan pihak tertentu dan propaganda Barat.
"Kami sedar pasaran baharu ini wujud sebahagiannya disebabkan oleh konflik yang berlaku di Ukraine, yang mengakibatkan gangguan kepada bekalan minyak bunga matahari dan minyak rapeseed. " "Bagaimanapun, saya percaya ini adalah permulaan yang baik dan minyak sawit Malaysia akan terus mendapat permintaan walaupun setelah konflik ini tamat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zuraida berkata walaupun jumlah dan nilai import minyak sawit Malaysia dari negara-negara ini tidak setinggi seperti di India dan Turkiye, ia masih merupakan perkembangan yang menggalakkan kerana ia merupakan pasaran baru.
"Dengan selangkah kaki masuk ke pintu negara-negara ini, ia membolehkan kita mengembangkan lagi pasaran minyak sawit Malaysia di sana untuk tempoh jangka masa panjang," katanya sambil menambah KPPK juga pada masa sama telah menetapkan sasaran untuk mengeksport minyak sawit Malaysia ke lebih banyak negara bukan tradisional khususnya di Kesatuan Eropah (EU) serta akan berusaha mengembangkan pasaran dalam kalangan negara pengimport
Zuraida berkata maklum balas yang diterima daripada pasaran baharu juga menunjukkan bahawa negara berkenaan yakin dengan kualiti minyak sawit Malaysia kerana produktiviti yang tinggi dan ketersediaannya sepanjang tahun, serta kepelbagaian kegunaan dalam sektor makanan dan bukan makanan.
"KPPK akan terus memanfaatkan kekuatan ini," katanya.
Sebelum ini, katanya, ramai khususnya di EU, tidak tahu tentang kelebihan dan manfaat minyak sawit Malaysia berikutan kempen fitnah yang berterusan selama beberapa dekad.
"Penerimaan minyak sawit di pasaran Malaysia kini semakin meningkat berikutan kesedaran yang tinggi, hasil usaha promosi kementerian termasuk melalui misi perdagangan antarabangsa yang telah kami adakan," katanya.
-- BERNAMA
#minyak sawit
#Malaysia
#pasaran global baharu
#estonia
#Republik Czech
#Hungary
#komoditi
#Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
#Zuraida Kamaruddin