Minos Markets Ltd, ZFinances, Akademi Cikgu Syahmi masuk Senarai Peringatan Pelabur SC

Bernama
Ogos 19, 2024 21:45 MYT
SC juga menggesa pelabur supaya berhati-hati terhadap kemungkinan entiti berpotensi klon yang menyamar sebagai entiti yang sah. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti (SC) Malaysia telah mengemas kini Senarai Peringatan Pelaburnya dengan memasukkan tiga entiti tidak sah dan satu entiti berpotensi klon.
SC menerusi hantaran di laman X hari ini berkata entiti yang tidak sah itu ialah Minos Markets Ltd, ZFinances dan Akademi Cikgu Syahmi.
Pengawal selia itu juga menggesa pelabur supaya berhati-hati terhadap kemungkinan entiti berpotensi klon yang menyamar sebagai entiti yang sah.
"Satu entiti berpotensi klon yang dipanggil 'Bursa Malaysia Biz' telah menyalahgunakan nama dan kelayakan Bursa Malaysia Bhd, syarikat bursa di bawah naungan SC dan Kementerian Kewangan," katanya.
SC juga menggesa pelabur untuk membuat penilaian teliti sebelum melabur dan mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman sesawang rasmi SC di www.sc.com.my/investor-alert.
-- BERNAMA
#suruhanjaya sekuriti #Minos Markets Ltd #ZFinances #Akademi Cikgu Syahmi