Minggu Ekonomi Digital Malaysia jana perdagangan, pelaburan berkelayakan RM1.3 bilion

Bernama
Februari 22, 2022 08:50 MYT
Acara itu turut menjadi pentas bagi pengumuman Malaysia Digital, program yang ditambah baik untuk menggantikan inisiatif MSC Malaysia. - Foto Facebook/Malaysia at EXPO 2020
KUALA LUMPUR: Acara Minggu Ekonomi Digital Malaysia pada Ekspo 2020 Dubai, berjaya menjana pelaburan berkelayakan dan perdagangan bernilai RM1.295 bilion ke Malaysia menerusi 110 perniagaan berpotensi, 138 padanan perniagaan dan 16 memorandum persefahaman (MoU).
Jumlah yang dijana daripada penyertaan 22 syarikat teknologi Malaysia, melepasi sasaran awal RM300 juta dari segi pelaburan dan 50 perniagaan berpotensi yang dijangka mewujudkan 890 peluang pekerjaan.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata pencapaian itu menjadi bukti kekuatan Malaysia dalam ekonomi digital serta keyakinan global terhadap negara sebagai destinasi pelaburan digital utama.
"Pelaburan berkelayakan tersebut akan memberi impak berganda iaitu mewujudkan banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi yang menjadi nadi kepada pemulihan ekonomi negara, selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 serta memacu tawaran nilai Malaysia sebagai hab digital ASEAN," kata beliau dalam satu kenyataan pada Isnin.
Annuar juga menyifatkan perdagangan dan pelaburan berkelayakan berkenaan sebagai satu langkah besar ke arah merealisasikan matlamat Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) yang menyasarkan pelaburan digital bernilai RM70 bilion menjelang 2025.
Delegasi pada Minggu Ekonomi Digital Malaysia yang berlangsung pada 9-15 Januari 2022, diketuai oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang juga agensi peneraju ekonomi digital Malaysia.
Acara itu turut menjadi pentas bagi pengumuman Malaysia Digital, program yang ditambah baik untuk menggantikan inisiatif MSC Malaysia atau Koridor Raya Multimedia yang beroperasi sejak 25 tahun lepas.
Malaysia Digital dijangka melonjakkan tawaran nilai Malaysia untuk menarik pelaburan digital menerusi rangka kerja yang berteraskan tiga komponen utama iaitu Ketangkasan, Fleksibiliti dan Relevan.
Menurut MDEC, kerajaan dan agensi itu turut memperkenalkan dua projek pemangkin iaitu DE Rantau dan Malaysia Digital Trade di bawah inisiatif tersebut.
DE Rantau dirancang untuk menjadikan Malaysia sebagai Hab Nomad Digital pilihan di ASEAN manakala Malaysia Digital Trade akan memacu kesalingoperasian dan penyelarasan lebih baik bagi standard dan pendekatan kawal selia serta memudahkan perdagangan di dalam dan merentasi sempadan, kata MDEC.
-- BERNAMA
#Minggu Ekonomi Digital Malaysia #Ekspo 2020 Dubai #pelaburan #perdagangan
;