Minat belian pacu peningkatan Bursa Malaysia pada sesi tengah hari

Bernama
Ogos 15, 2023 13:34 MYT
Pada tengah hari ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.23 mata kepada 1,461.23 daripada 1,457.0 pada akhir dagangan semalam. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi Selasa dengan lebih tinggi, didorong oleh pembelian berterusan dalam saham wajaran tinggi terpilih serta di tengah-tengah prestasi bercampur-campur di peringkat bursa serantau, kata peniaga.
Pada tengah hari ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.23 mata kepada 1,461.23 daripada 1,457.0 pada akhir dagangan semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka susut 0.14 mata pada 1,456.86 dan bergerak dalam jajaran 1,456.27 hingga 1,462.89 sepanjang sesi dagangan.
Di pasaran secara meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 476 berbanding 333 manakala 392 kaunter lain tidak berubah dan 1,139 tidak diniagakan selain 13 lagi digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 2.05 bilion unit bernilai RM940.97 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata beliau menjangkakan aktiviti pembelian pembelian akan terus ketara dan mendorong indeks tersebut berlegar dalam julat 1,460-1,470 hari ini dengan tumpuan minat serta pembelian berterusan membabitkan saham perbankan.
"Pada Isnin, FBM KLCI terbukti mengatasi kerugian awal untuk ditutup mendatar akibat aktiviti belian lewat, sekali gus membuktikan bahawa pasaran kekal kukuh walaupun prestasi serantau sebaliknya lemah.
"Sektor pembinaan, sepertimana dijangkakan, dapat menjana minat belian kukuh berikutan ramai berpendapat bahawa kerajaan akan melonjakkan ekonomi domestik menerusi pelancaran projek-projek berkaitan infrastruktur tidak lama lagi," katanya kepada Bernama.
Pada tengah hari, saham wajaran tinggi Maybank untung 5.0 sen kepada RM9.05; Public Bank dan Tenaga Nasional naik 4.0 sen masing-masing kepada RM4.19 dan RM9.84; CIMB meraih 3.0 sen kepada RM5.68 manakala Petronas Chemicals tidak berubah pada RM6.83.
Bagi saham aktif, Glostrext melonjak 9.0 sen kepada 28 sen, MyEG meningkat 2.0 sen kepada 79.5 sen, manakala Classita dan MMAG masing-masing tidak berubah pada 8.5 sen dan 1.0 sen.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas naik 39.49 mata kepada 10,751.90; Indeks FBMT 100 turun 36.92 mata kepada 10,437.17; Indeks FBM Emas Shariah menokok 25.98 mata kepada 10,962.26; Indeks FBM 70 menambah 78.38 mata kepada 14,142.59 manakala Indeks FBM ACE susut 24.84 mata kepada 5,300.48.
Prestasi sektor menyaksikan Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 79.37 mata kepada 16,386.24; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.64 mata kepada 168.10; Indeks Tenaga menambah 4.80 mata kepada 838.91 manakala Indeks Perladangan susut 25.08 mata kepada 7,048.94.
-- BERNAMA
#Bursa Malaysia #sesi dagangan pagi #pembelian berterusan #saham wajaran tinggi
;