Milo Hi-Fibre inovasi baharu, penuhi keperluan nutrisi
Eton Khir
Ogos 18, 2022 10:55 MYT
Ogos 18, 2022 10:55 MYT
KUALA LUMPUR: Nestle Malaysia Berhad (Nestle) melancarkan produk baharunya, Milo Hi-Fibre, sejajar usaha menyokong gaya hidup sihat dengan gaya hidup aktif.
Milo Hi-Fibre dirumus dengan kandungan serat yang lebih tinggi bagi memenuhi keperluan inovasi minuman bernutrisi rakyat Malaysia.
Menurut Pengurus Pemasaran Pengguna, Unit Perniagaan Milo, Nestle (Malaysia) Berhad, Catherine Yap, inovasi itu dicipta agar rakyat Malaysia dapat kekal bertenaga dalam gaya hidup aktif.
Jelasnya, setiap hidangan 30 gram Milo Hi-Fibre mengandungi 3.7 gram serat yang mampu memenuhi 12 peratus keperluan serat harian seseorang individu.
“Milo Hi-fibre menyasarkan orang dewasa namun pada masa sama produk ini turut sesuai untuk kanak-kanak dan setiap orang yang sukakan Milo.
"Pada kali ini, ada sedikit kelainan yang diketengahkan iaitu minuman Milo yang memiliki kandungan serat yang lebih tinggi di samping,tentunya kami masih mengekalkan campuran barli malt, susu, koko dan vitamin serta mineral penting yang mengekalkan rasa ikonik kegemaran rakyat Malaysia.
“Selain itu, produk baharu ini juga mengandungi hanya lebih kurang setengah sudu kecil gula (sukrosa) dalam setiap hidangan, sesuai untuk mereka yang mengamalkan pilihan kurang gula dalam diet,” kata beliau pada majlis pelancaran Milo Hi-Fibre pada Rabu.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif, Nestle Malaysia, Juan Aranols dan duta Milo Hi-Fibre yang juga legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek.
Mengulas lanjut, Catherine berkata, Milo Hi-Fibre juga memenuhi kriteria logo pilihan lebih sihat seperti digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Katanya, ia membawa maksud bahawa kandungan gula dan lemak produk minuman tersebut adalah lebih rendah dan kandungan seratnya pula lebih tinggi.
Sementara itu, Rashid selaku duta produk berharap rakyat Malaysia dapat mengekalkan gaya hidup sihat dalam kehidupan mereka.
“Milo Hi-Hibre seperti yang kita tahu mengandungi serat yang tinggi dan bagus untuk seisi keluarga dan seluruh rakyat Malaysia. Selain itu, ia juga mengandungi kurang gula serta amat bagus sekali untuk kita kekal sihat dan bertenaga," katanya.
Milo Hi-Fibre didatangkan dalam dua format iaitu pek lembut 900 gram dan stik pek 30 gram dengan 12 stik pek setiap bungkusan.
Ia boleh didapati di kesemua kedai berhampiran atau secara dalam talian melalui laman e-dagang mengikut pilihan pengguna.
Untuk maklumat lanjut tentang kebaikan Milo Hi-Fibre layari laman web https://www.milo.com.my/milo-hi-fibre