MIHAS@Dubai cecah jualan luar biasa RM2.2 bilion
Nazri Kahar
November 21, 2024 12:12 MYT
November 21, 2024 12:12 MYT
DUBAI: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) telah memuktamadkan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di Dubai (MIHAS@Dubai) dengan kejayaan luar biasa, dengan jualan melangkaui sasaran sebanyak 120 peratus kepada RM2.2 bilion.
Kejayaan ini menyerlahkan peranan strategik Malaysia dalam mempromosikan perdagangan halal dan keberkesanan inisiatif diplomasi halalnya.
"Sambutan termasuk angka jualan yang memberangsangkan menunjukkan permintaan yang agak tinggi bagi produk dan perkhidmatan halal Malaysia, mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab halal global," kata Matrade dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu juga menyebut, ciri utama MIHAS@Dubai ialah INSP, yang menghubungkan syarikat dari Malaysia dengan pembeli antarabangsa yang dipilih dengan teliti oleh pejabat Matrade di seluruh dunia.
Program ini memainkan peranan penting dalam memacu jalan sebenar dan berpotensi, menyediakan platform kepada syarikat Malaysia bertemu pelanggan berprofil tinggi selain mewujudkan perkongsian jangka panjang.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Mohd Mustafa Abul Aziz, berkata MIHAS@Dubai telah membuka jalan baharu bagi perniagaan Malaysia di Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta pasaran Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA) yang lebih luas.
Beliau menambah: "Kejayaan INSP kami menekankan tarikan global ke produk serta perkhidmatan halal Malaysia. Acara ini sudah pasti akan menyumbang kepada pertumbuhan eksport dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab halal global." katanya.
MIHAS@Dubai dianjurkan oleh Matrade, berlangsung selama tiga hari mulai 18 hingga 20 November di Pusat Dagangan Antrabangsa Dubai.
Acara itu menonjolkan pengaruh Malaysia yang semakin melonjak dalam pasaran halal global termasuk komitmennya untuk memupuk perkongsian perdagangan di seluruh rantau MENA.