MIGHT komited bangun industri EV dengan pelbagai industri

Ehsan A Marisah
Januari 27, 2023 12:00 MYT
MIGHT beranggapan komponen pembangunan EV perlu diberikan penekanan agar segala usaha dilakukan tidak tergendala dan sia-sia. - Foto MIGHT
KUALA LUMPUR: Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) komited memacu pembangunan industri kenderaan elektrik (EV) negara menerusi kerjasama erat dengan pelbagai industri.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, MIGHT, Datuk Dr Mohd Yusoff Sulaiman berkata, kerjasama antara industri berkenaan adalah berdasarkan unjuran masa yang realistik dan mengambil kira pelbagai senario dan menerapkan penggunaan metodologi Foresight.
Menurutnya, metodologi itu akan dapat mengenal pasti ciri-ciri yang wajar diketengahkan atau dibina dalam industri EV serta industri bekalan peralatan kenderaan elektrik (EVSE) yang kukuh dan berdaya saing.
“Di MIGHT pendekatan sistematik yang digunakan dalam pembangunan industri ini adalah berdasarkan elemen F.I.R.S.T.
"Ia adalah funding and finance (kewangan); infrastructure (infrastruktur); regulation and policies (perundangan dan polisi); skills and talent (kepakaran dan tenaga kerja terlatih) dan technologies (teknologi).
“Dengan itu, pembangunan Industri Kenderaan Elektrik (EV) dan juga Industri Bekalan Peralatan Kenderaan Elektrik (EVSE) harus mengambilkira setiap komponen untuk membentuk ekosistem yang utuh,” katanya dalam program Niaga AWANI, pada Khamis 26 Januari 2023.
Niaga AWANI: Kenderaan EV | Kelestarian dan manfaat masa hadapan
Mengulas lanjut, beliau berkata, komponen pembangunan EV juga perlu diberikan penekanan agar segala usaha dilakukan tidak tergendala dan sia-sia.
“Antara bidang-bidang yang harus dibangunkan dan diberi penekanan adalah meransang pertubuhan syarikat start-up dalam bidang EV; memastikan wujudnya mekanisme perpindahan teknologi yang kukuh serta pembangunan dan ketersediaan sumber manusia yang terlatih.
“Peringkat awalnya adalah mengenalpasti isu dan penyelesaian melalui perbualan dan diikuti dengan usahasama dan seterusnya pembentukan bersama antara pihak terlibat dalam membangunkan model atau metodologi baharu pembangunan industri EV ini.
“Ini bersifat moonshot dengan visi yang nyata dan jelas serta mengambil sekurang-kurangnya tempoh lima tahun untuk membuahkan hasil,” katanya.
Terdahulu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyasarkan pelaburan EV dapat menarik pelaburan sebanyak RM20 billion menjelang 2030 dan seterusya kepada RM40 billion menjelang 2050.
#MIGHT #EV #EVSE #Mohd Yusoff Sulaiman
;