MIDF Research positif terhadap prospek masa hadapan industri semikonduktor global

Dagang News
Mei 9, 2022 11:53 MYT
Firma itu berkata, menurut IC Insight, perbelanjaan untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) oleh syarikat semikonduktor global dijangka meningkat sebanyak 9% pada 2022 kepada AS$80.5 bilion (RM352.39 bilion).
KUALA LUMPUR: MIDF Research kekal positif dengan prospek masa hadapan industri semikonduktor selepas mengambil kira kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan elektronik automotif yang bergantung kepada industri itu.
Menurut laporan Persatuan Industri Semikonduktor (SIA), jualan semikonduktor global kekal stabil bagi Q1FY22 dengan merekodkan jualan sebanyak AS$151.7 bilion (RM664.07 bilion) atau pertambahan 23 peratus dari tahun ke tahun.
Firma itu berkata, jualan global untuk Mac 2022 adalah AS$50.6 bilion (RM221.50 bilion) dengan Amerika Syarikat (AS) mengetuai pasaran serantau dengan pertambahan jualan sebanyak 40.1 peratus.
"Kami kekal positif bahawa sektor ini dijangka terus berkembang pesat kerana peningkatan pengunaan dan integrasi, mengatasi sektor lain termasuk kewangan dan industri.
"Antara syarikat pilihan kami dalam sektor ini termasuk Inari Amertron Berhad dengan saranan 'beli' pada harga sasaran (TP) RM4.55 dan Unisem (M) Berhad dengan saranan 'beli' pada TP RM4.33 didorong peningkatan kandungan frekuensi radio (RF) dan penggunaan telefon pintar 5G.
"Kami juga memili Globetronics Technology Berhad (beli, TP: RM2.00) kerana pendedahan dalam produk penderia berteknologi tinggi untuk pelbagai aplikasi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, menurut IC Insight, perbelanjaan untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) oleh syarikat semikonduktor global dijangka meningkat sebanyak 9 peratus pada 2022 kepada AS$80.5 bilion (RM352.39 bilion).
Katanya, jumlah perbelanjaan R&D oleh syarikat semikonduktor dijangka meningkat dengan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 5.5 peratus antara 2022 hingga 2026 kepada AS$108.6 bilion (RM475.40 bilion).
"Keadaan itu memberi bayangan bahawa perbelanjaan modal semikonduktor terus meningkat bagi memenuhi permintaan untuk penggunaan teknologi dalam pelbagai aplikasi," katanya.
* Artikel asal disiarkan di DagangNews
#semikonduktor #teknologi #MIDF Research
;