MIDF Research kekal unjuran eksport, import pada 9.2 dan 9.5 peratus tahun ke tahun
Bernama
Mac 20, 2023 18:29 MYT
Mac 20, 2023 18:29 MYT
KUALA LUMPUR: MIDF Research mengekalkan unjuran bagi pertumbuhan eksport dan import Malaysia masing-masing sebanyak 9.2 peratus dan 9.5 peratus tahun ke tahun pada tahun ini, dipacu oleh peningkatan dalam jumlah perdagangan pada Februari 2023.
Dalam nota penyelidikannya hari ini, firma penyelidikan itu berkata jumlah perdagangan Malaysia meningkat 11 peratus tahun ke tahun kepada RM205 bilion pada Februari, kekal melepasi paras RM200 bilion untuk bulan ke-12 berturut-turut dan berkembang untuk bulan ke-27 sejak Disember 2020.
"Sementara itu, kami menjangkakan peningkatan eksport ke China akan menyokong perdagangan dalam beberapa bulan akan datang kerana Malaysia akan mendapat manfaat daripada pembukaan semula ekonomi China," katanya.
Selain itu, MIDF Research berkata perdagangan dengan negara-negara perjanjian perdagangan bebas (FTA) juga akan berkembang, dirangsang oleh ratifikasi perjanjian perdagangan iaitu Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
"Namun begitu, kami berpendapat beberapa risiko ke bawah (downside) terhadap prospek perdagangan boleh tercetus daripada permintaan global yang lebih lemah, inflasi yang tinggi, dasar yang ketat serta kemungkinan peningkatan semula dalam ketegangan geopolitik dan perdagangan," katanya.
-- BERNAMA
#MIDF Research
#unjuran pertumbuhan eksport dan import
#jumlah perdagangan Malaysia
#peningkatan eksport ke China