MIDF Research jangka pertumbuhan kukuh eksport, import tahun ini

Bernama
Disember 20, 2022 11:00 MYT
Prestasi import juga melepasi jangkaan awal MIDF Research didorong oleh pemulihan yang lebih tinggi daripada jangkaan dalam perbelanjaan domestik tahun ini. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: MIDF Research menjangkakan pertumbuhan eksport dan import akan kukuh pada 27.1 peratus dan 32 peratus masing-masing pada tahun ini.
"Kami berpendapat peningkatan berterusan dalam permintaan global untuk produk ini akan menyokong prospek eksport Malaysia pada masa hadapan," katanya dalam satu nota hari ini.
Ia berkata prestasi import juga melepasi jangkaan awal MIDF Research didorong oleh pemulihan yang lebih tinggi daripada jangkaan dalam perbelanjaan domestik tahun ini.
"Walaupun kadar pertumbuhan telah menjadi sederhana dan lebih normal kerana kesan asas rendah yang berkurangan, kami masih menjangkakan import berkembang secara positif kerana kami menjangkakan permintaan dalam negeri akan terus meningkat tahun depan," katanya.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata ia mengekalkan pandangan berhati-hati tentang beberapa risiko penurunan yang boleh menjejaskan prospek perdagangan pada 2023 tetapi menjangkakan perdagangan luar akan terus berkembang walaupun pertumbuhan global lebih perlahan tahun depan.
Ia menambah bahawa risiko itu termasuk kemelesetan yang memuncak dan kemungkinan kelembapan yang lebih besar dalam pertumbuhan global; kejatuhan dalam permintaan akhir di tengah-tengah inflasi yang tinggi dan peningkatan kos pinjaman; dan kemungkinan peningkatan ketegangan geo-politik serta perang perdagangan.
Terdahulu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengumumkan bahawa perdagangan Malaysia meneruskan prestasi cemerlangnya dan mengekalkan trajektori menaik pada November 2022 dengan perdagangan berkembang sebanyak 15.6 peratus kepada RM238.17 bilion berbanding November 2021, bulan ke-22 berturut-turut bagi pengembangan dua digit tahun ke tahun.
Kementerian itu berkata eksport meningkat sebanyak 15.6 peratus kepada RM130.24 bilion manakala lebihan import dan perdagangan meningkat 15.6 peratus setiap satu masing-masing kepada RM107.93 bilion dan RM22.3 bilion.
-- BERNAMA
#MIDF Research #eksport #import #permintaan global
;