KUALA LUMPUR: MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF Research) menjangka kerajaan mengekalkan status quo harga runcit bahan api sekurang-kurangnya sehingga akhir 2023, seterusnya mengurangkan tekanan inflasi keseluruhan pada masa hadapan.

Firma penyelidikan itu berkata demikian berikutan penurunan inflasi utama bulan Jun 2023 yang menyederhana kepada 2.4 peratus tahun ke tahun (y-o-y), kadar paling perlahan sejak April 2022, bersama-sama dengan kadar inflasi bukan makanan yang lebih rendah yang turun sedikit kepada 1.2 peratus tahun ke tahun.

Menurut MIDF Research, pertumbuhan harga bahan api menyusut sebanyak 3.8 peratus tahun ke tahun pada Jun 2023, paling lemah sejak Mac 2021, memandangkan ia bergerak seiring dengan normalisasi harga komoditi dan kesan asas yang tinggi.

"Kami percaya kerajaan akan mengekalkan status quo mekanisme subsidi bahan api semasa, terutamanya RON95 dan diesel, sekurang-kurangnya sehingga akhir 2023.

"Oleh itu, kami menjangka inflasi bahan api akan kekal pada laluan nyahpecutan dan mengurangkan tekanan inflasi secara keseluruhan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa ini, harga runcit RON95 ialah RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter.

Mengenai inflasi makanan, yang merosot paras terendah lebih satu tahun iaitu 4.7 peratus tahun ke tahun pada Jun 2023, MIDF Research menjangkakan inflasi makanan domestik Malaysia akan terus menurun berikutan pembetulan ringan harga komoditi global, khususnya harga yang berkaitan dengan pertanian dan peningkatan rantaian bekalan di peringkat serantau dan domestik.

"Sebagai pengimport bersih makanan, Malaysia sangat terdedah kepada faktor-faktor luaran dan pergerakan mata wang.

"Selain ringgit yang menyusut, harga makanan Malaysia terdedah kepada penarikan Rusia daripada perjanjian bijirin baru-baru ini, kesan El Nino dan perubahan dasar eksport makanan oleh negara lain," katanya.

Berhubung pelarasan kadar dasar semalaman (OPR), MIDF Research berpendapat dengan permintaan domestik yang stabil, ditambah pula inflasi teras yang kekal melebihi tiga peratus tahun ke tahun pada Jun 2023 (purata tahap prapandemik ialah 1.7 peratus tahun ke tahun), ia boleh mendorong Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mempertimbangkan satu lagi kenaikan sebanyak 25 mata asas (25 bps).

Secara keseluruhannya, ia mengekalkan unjuran Indeks Harga Pengguna (IHP) pada tiga peratus untuk 2023.

-- BERNAMA