MIDF kekalkan unjuran pertumbuhan KDNK 2022 pada 6.6 peratus

Bernama
Oktober 3, 2022 05:00 MYT
Dengan mengambil kira faktor peningkatan dan penyusutan, MIDF mengunjurkan pertumbuhan KDNK Malaysia tumbuh 4.2 peratus pada 2023. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia dilihat positif sebagaimana dipaparkan oleh peningkatan berterusan Indeks Pelopor (LI) Malaysia pada Julai yang menokok 4.1 peratus tahun ke tahun, kata MIDF Research.
LI mengunjurkan hala tuju ekonomi negara bagi tempoh 4-6 bulan akan datang secara purata.
"Berikutan itu, kami mengekalkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2022 pada 6.6 peratus. Angka itu merupakan satu pengukuhan daripada pertumbuhan tahun lepas yang terjejas akibat pelaksanaan langkah sekatan pergerakan.
"Petunjuk lain baru-baru ini juga terus memaparkan peningkatan dengan pengembangan berterusan LI memaparkan momentum pertumbuhan positif akan berterusan dalam beberapa bulan seterusnya," kata cabang penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd, dalam tinjauan ekonomi bulanannya pada Isnin.
Bagaimanapun, MIDF Research berkata penurunan bulanan ketara LI pada Julai 2022 iaitu susut 2.0 peratus daripada 0.4 peratus pada Jun, merupakan petanda awal prospek pertumbuhan lebih rendah.
"Selain rasa optimis itu, kami juga maklum mengenai impak inflasi global dan usaha memperketat dasar di peringkat global yang boleh mempengaruhi prospek pertumbuhan, terutama dalam tempoh memasuki 2023.
"Malah, sebarang penyusutan ketara dalam permintaan global boleh menjejaskan prospek perdagangan dan pertumbuhan Malaysia," katanya.
Risiko penurunan lain bagi penggal pertengahan ini termasuk peningkatan ketidaktentuan dalam pasaran kewangan global, penyusutan pertumbuhan dalam negara rakan dagang utama seperti Amerika Syarikat dan China serta kenaikan inflasi yang berterusan.
"Walaupun dalam ketidaktentuan luaran, kami percaya Malaysia dapat mengharungi kelembapan global itu berikutan kepelbagaian produk eksportnya. Penyusutan permintaan global juga dijangka tidak sebegitu ketara seperti krisis sebelum ini dan sekiranya pengembangan permintaan domestik terus dikekalkan," katanya.
Dalam kenyataan nota tinjauan berasingan, MIDF berkata unjuran pertumbuhan KDNK kekal pada 6.6 peratus bagi tahun ini berbanding 6.0 peratus sebelum ini, dengan jangkaan momentum akan berterusan dalam separuh kedua 2022.
Ini berdasarkan jangkaan peningkatan dalam perbelanjaan pengguna, aktiviti perniagaan yang bertambah baik serta pertumbuhan permintaan luaran dalam tempoh terbabit.
Keadaan itu akan disokong oleh peningkatan pasaran buruh, prospek pekerjaan yang mendorong perbelanjaan pengguna biarpun masyarakat lebih berhati-hati berikutan kenaikan kos sara hidup, katanya.
Menurutnya, dengan mengambil kira faktor peningkatan dan penyusutan, ia mengunjurkan pertumbuhan KDNK Malaysia tumbuh 4.2 peratus pada 2023.
Pertumbuhan tersebut akan kembali normal pada suku keempat 2022 berdasarkan aliran semasa data makro dan KDNK Malaysia diunjur berkembang pada kadar dua angka dalam suku ketiga.
-- BERNAMA
#KDNK #MIDF Research #indeks pelopor #pertumbuhan ekonomi Malaysia
;