MIDF kekalkan unjuran pertumbuhan IPP pada 4.3 peratus
Bernama
Mei 10, 2022 04:30 MYT
Mei 10, 2022 04:30 MYT
KUALA LUMPUR: Penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF) mengekalkan unjuran pertumbuhan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) pada 4.3 peratus tahun ini, dengan aktiviti pengeluaran dijangka terus meningkat.
Ini memandangkan sektor pembuatan bertambah kukuh pada April 2022 dengan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) meningkat kepada 51.6.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Selasa melaporkan, IPP meningkat 5.1 peratus pada Mac 2022 berbanding dengan angka pada Mac 2021, dipacu oleh pertumbuhan tiga indeks, iaitu pembuatan, elektrik dan perlombongan.
Menerusi nota penyelidikan, MIDF menjelaskan pertumbuhan IPP yang dicatatkan Malaysia pada Mac merupakan yang terpesat dalam tempoh tiga bulan, sekali gus menambah baik jangkaan pasaran.
Bagaimanapun, MIDF masih memberikan pandangan berhati-hati kerana perang di Ukraine dan sekatan pergerakan di China boleh menjejaskan aktiviti pengeluaran Malaysia, terutama bagi sektor berorientasikan eksport.
"Selain itu, peningkatan kos pengeluaran dan kekurangan bahan juga boleh menjejaskan unjuran pengeluaran tempatan," jelasnya.
Bank pelaburan itu menambah, dari sudut positif, prospek bagi sektor berorientasikan domestik dijangka memberangsangkan susulan pembukaan semula ekonomi selanjutnya dan pelonggaran sekatan COVID-19.
Sementara itu, dalam nota berasingan, penyelidikan MIDF menjangkakan pasaran buruh kekal pada aliran pemulihan yang stabil, seperti ditunjukkan oleh kadar kekosongan pekerjaan yang melonjak kepada rekod tertinggi iaitu 74.9 peratus pada Februari 2022.
Kekosongan pekerjaan melonjak kepada 503,200 pada Februari, yang tertinggi pernah direkodkan, mencerminkan aktiviti ekonomi domestik yang kukuh didorong oleh pemuihan semula permintaan tempatan dan pengembangan berterusan sektor luar, menurutnya.
Bagaimanapun, lebih separuh daripada kekosongan itu adalah pekerjaan berkemahiran rendah dan asas manakala pekerjaan profesional dan berkemahiran tinggi merosot 5.9 peratus, terendah dalam tempoh 17 bulan sementara itu penggubal undang-undang, pegawai kanan dan pengurus 2.9 peratus, paras terendah dalam tempoh 13 bulan.
Namun, penyelidikan MIDF menjelaskan pasaran buruh Malaysia terus mengukuh.
Guna tenaga meningkat 2.9 peratus tahun ke tahun pada Mac 2022, dan tenaga buruh berkembang stabil pada 2.2 peratus tahun ke tahun.
-- BERNAMA