MIDF: The Fed mungkin naik 0.5% faedah tahun ini
Najib Aroff
Februari 11, 2016 15:35 MYT
Februari 11, 2016 15:35 MYT
MIDF Research menjangkakan Rizab Persekutuan (The Fed) Amerika Syarikat hanya akan meningkatan kadar faedah sekitar 0.5 peratus berbanding 1.0 peratus pada tahun ini, kata firma itu dalam nota kajian.
Firma itu berkata ia susulan kelemahan pasaran kewangan dunia seperti yang disahkan Pengerusi The Fed Janet Yellen.
MIDF berkata tekanan pertumbuhan ekonomi global turut menjadikan The Fed lebih berhati hati dalam usaha meningkatkan kadar faedah susulan.
“Meskipun pasaran buruh Amerika kukuh namun ia masih dianggap lemah jika dibandingkan dengan krisis kewangan sebelum ini,” kata firma itu sambil menambah, sejak kadar faedah dinaikan pada Disember tahun lepas, pasaran ekuiti dan bon jatuh.
Indeks dunia MSCI menunjukkan pasaran ekuiti dunia jatuh 10.9 peratus, CSI 300 jatuh 19.58 peratus dan Nikkei jatuh 18.81 peratus sejak Disember sementara pasaran membangun menyaksikan purata kejatuhan pasaran ekuiti 7.49 peratus.
Terdahulu dalam ucapan kepada Kongres, Yellen menyatakan The Fed akan menunda rancangan menaikkan kadar faedah susulan kelemahan pasaran kewangan global.
Yellen berkata ekonomi AS berdepan beberapa ancaman utama yang mungkin membantutkan pertumbuhan antaranya kelemahan pasaran China, kelemahan Yuan dan ketidaktentuan pasaran kewangan.
Yellen berkata meskipun The Fed menjangkakan kenaikan kadar faedah secara berperingkat, namun tempoh sebenar tidak ditetapkan.
“Pertumbuhan berterusan pekerjaan dan gaji akan menyokong pertumbuhan pendapatan sebenar dan oleh itu menyokong perbelanjaan pengguna.
“Pertumbuhan ekonomi global akan meningkat dipacu polisi monetori akomodatif,di luar negara. berdasarkan fakta ini, jawatankuasa menjangkakan pelarasan berperingkat kadar faedah akan mengembangkan aktiviti ekonomi pada kadar sederhana untuk beberapa tahun akan datang.
“Indikator pasaran pekerjaan akan terus kukuh. namun unjuran ekonomi masih tidak menentu,” katanya kepada Kongres.
Mengulas kedudukan semasa ekonomi China, Yellen menjelaskan, indicator ekonomi terkini tidak mencerminkan kejatuhan menjunam ekonomi kedua terbesar dunia itu.
Justeru beliau yakin suku pertama tahun ini bakal menyaksikan pertumbuhan dalam ekonomi AS berbanding tiga bulan terakhir 2015.
Kadar pengangguran AS kini berada pada 4.9 peratus.