MIDF Amanah kekal positif terhadap sektor hartanah di Malaysia

Bernama
Julai 10, 2024 04:30 MYT
MIDF Amanah dalam nota penyelidikan berkata, permohonan pinjaman yang semakin meningkat seharusnya menyokong prospek pendapatan pemaju. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: MIDF Amanah Investment Bhd kekal positif terhadap sektor hartanah kerana data permohonan pinjaman yang lebih baik menunjukkan minat belian lebih kukuh.
MIDF Amanah dalam nota penyelidikan berkata, permohonan pinjaman yang semakin meningkat seharusnya menyokong prospek pendapatan pemaju.
"Kami berpendapat minat belian lebih kukuh disokong oleh jumlah kediaman tidak terjual lebih rendah di Malaysia, prospek harga rumah stabil dan prospek ekonomi yang bertambah baik untuk Malaysia," katanya.
MIDF Amanah memilih Mah Sing Group sebagai pilihan utama untuk sektor itu, menetapkan saranan 'beli' terhadap saham pemaju hartanah dengan harga sasaran (TP) RM1.97 disebabkan pendedahannya yang tinggi kepada segmen kediaman mampu milik, disokong oleh permintaan pembelian kukuh.
Mah Sing terus mengembangkan simpanan tanahnya, dijangka akan mengekalkan pertumbuhan jualan dan pendapatan baharunya, selain itu usaha pemaju hartanah ke dalam pusat data akan memberikan pendapatan berulang dalam tempoh jangka panjang.
"Sementara itu, kami positif terhadap Matrix Concepts dengan saranan 'beli' (TP RM2.05) disebabkan jualan berdaya tahan dari perbandaran Bandar Sri Sendayan di Seremban, Negeri Sembilan yang disokong oleh permintaan untuk rumah bertanah mampu milik," katanya.
MIDF Amanah berkata, Matrix Concepts terus mengembangkan simpanan tanahnya di Labu yang akan merangsang pertumbuhan pendapatan melepasi jumlah dicatatkan pada tahun kewangan 2027 dan menawarkan hasil dividen menarik diunjurkan pada 5.7 peratus.
Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), jumlah permohonan pinjaman untuk pembelian hartanah meningkat 3.2 peratus tahun ke tahun kepada RM58.5 bilion pada Mei 2024 berikutan pertumbuhan naik 15 peratus tahun ke tahun pada April 2024 .
Pada asas bulanan, jumlah permohonan pinjaman pada Mei 2024 merekodkan pertumbuhan dua angka pada 10.5 peratus bulan ke bulan, meningkat ke paras tertinggi sejak April 2023. - BERNAMA
#sektor hartanah #ekonomi malaysia #MIDF Amanah #Pinjaman Perumahan
;