MIDA, Standard Chartered Malaysia meterai MoU tarik pelabur antarabangsa
Isabelle Leong
Jun 11, 2020 17:44 MYT
Jun 11, 2020 17:44 MYT
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Standard Chartered Malaysia bagi menarik pelabur asing untuk melabur di negara ini.
Pelaburan asing berkenaan melibatkan sektor yang merangkumi pelaburan bernilai tinggi, teknologi tinggi dan pelaburan berimpak tinggi seperti elektrik dan elektronik, mesin dan peralatan, aeroangkasa selain tenaga boleh diperbaharui dan teknologi pengguna.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud berkata jalinan kerjasama tersebut adalah usaha untuk memulihkan ekonomi negara yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19.
“Selama ini, MIDA dan Standard Chartered telah membina hubungan dan kolaborasi yang saling menguntungkan.
“Kerjasama berterusan ini sangat bertepatan pada masanya dan penting memandangkan MIDA akan menerima lebih banyak minat pelaburan terhadap negara ini berikutan pengumuman Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada minggu lalu,” kata Azman.
Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani MoU tdengan Pengarah Urusan dan CEO Standard Chartered Malaysia Arbrar Anwar di Equatorial Plaza, Kuala Lumpur pada Khamis.
Dengan memanfaatkan rangkaian dan kepakaran global kedua-dua organisasi tersebut, Malaysia dapat menjangkakan nilai pelaburan yang lebih tinggi dan pelaburan berintensifkan teknologi.
Sementara itu, Abrar berkata setakat ini, sasaran pelaburan belum ditetapkan lagi dan tiada had.
“Kami tidak mempunyai sebarang sasaran pelaburan buat masa ini.
“Terdapat banyak dinamisme dalam pasaran buat ketika ini dengan gangguan dalam rantaian bekalan dan syarikat sedang melihat kepelbagaian daripada potensi risiko yang datang daripada rantaian bekalan berkenaan,” katanya.
#COVID-19
#elektrik dan elektronik
#Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia
#MIDA
#pelabur asing
#pelaburan bernilai tinggi
#Pelan Jana Semula Ekonomi Negara
#PENJANA
#Standard Chartered Malaysia
#teknologi tinggi