MIDA diperkasa sebagai agensi penggalakan pelaburan utama - Tengku Zafrul
Bernama
Mei 22, 2023 18:50 MYT
Mei 22, 2023 18:50 MYT
KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan diperkasakan sebagai agensi penggalakan pelaburan utama negara sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menyusun semula ekosistem agensi penggalakan pelaburan negara.
Perkara ini diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) yang telah dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata penyusunan semula tersebut akan dimulakan dengan penyelarasan fungsi dan peranan agensi penggalakan pelaburan serta koridor ekonomi wilayah berkaitan pelaburan secara berfasa,
Ini termasuk memastikan pendekatan menyeluruh kerajaan dari segi aktiviti penggalakan pelaburan negara secara lebih tersusun, efisien, berfokus, berstruktur dan sistematik.
"Selain itu, usaha ini juga akan memastikan pelaburan langsung asing dan pelaburan langsung domestik membawa kepada kesan limpahan positif kepada ekonomi dan rantaian bekalan domestik, perusahaan kecil dan sederhana tempatan serta rakyat Malaysia selaras dengan objektif aspirasi pelaburan nasional," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi memperkasa MIDA sebagai agensi penggalakan pelaburan utama negara, Tengku Zafrul berkata pengukuhan fungsi penyelenggaraan akaun dan pemusatan pelaporan maklumat terkini pelaburan di bawah satu dashboard tunggal juga akan menangani isu-isu pelabur secara tangkas.
Selain itu, usaha berkenaan turut menyokong penggubalan dasar untuk pembangunan industri, insentif galakan pelaburan dan memudahcara perjalanan pelabur serta fasilitasi pelaburan yang berkesan.
"Hasrat ini adalah selaras dengan teras strategik di bawah Dasar Pelaburan Baharu berteraskan aspirasi pelaburan nasional yang menggariskan keperluan untuk menambah baik landskap agensi penggalakan pelaburan negara agar lebih terancang, sekali gus memudahkan perjalanan pelabur," kata Tengku Zafrul.
Beliau berkata, MPN selaku badan eksekutif tertinggi dalam merencanakan agenda berkaitan pelaburan, juga bertanggungjawab untuk menangani isu dan cabaran utama dalam pelaksanaan projek-projek pelaburan, terutamanya pelaburan strategik dan berimpak tinggi.
-- BERNAMA