Microsoft mansuh 650 pekerjaan di unit permainan Xbox

Bernama
September 12, 2024 07:30 MYT
Pekerja yang meninggalkan syarikat akan menerima pakej pampasan merangkumi faedah pemberhentian, penjagaan kesihatan lanjutan dan perkhidmatan bantuan penempatan kerja. - Foto REUTERS
ISTANBUL: Microsoft mengumumkan pada Khamis bahawa ia akan memansuhkan 650 pekerjaan di unit permainan Xbox, lapor Agensi Anadolu (AA).
Langkah itu diambil ketika syarikat teknologi yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu menyasarkan untuk mengatur semula perniagaannya bagi "kejayaan jangka panjang", menurut satu memo yang diterbitkan dalam beberapa laporan berita.
Microsoft berkata pekerja yang meninggalkan syarikat akan menerima pakej pampasan merangkumi faedah pemberhentian, penjagaan kesihatan lanjutan dan perkhidmatan bantuan penempatan kerja.
Pakej pampasan akan berbeza di luar AS, bergantung kepada lokasi.
Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft Gaming Phil Spencer berkata akan terdapat kesan kepada pasukan lain dalam syarikat itu, kerana "mereka perlu menyesuaikan diri dengan perubahan keutamaan dan menguruskan kitaran hayat serta prestasi permainan," menurut memo berkenaan.
Langkah ini merupakan kali ketiga Microsoft mengurangkan tenaga kerja dalam bahagian permainan selepas menyelesaikan perjanjian pemerolehan syarikat permainan video Activision Blizzard bernilai AS$69 bilion pada Oktober 2023.
Syarikat itu pada akhir Januari tahun ini mengumumkan bahawa ia akan memberhentikan sembilan peratus daripada bahagian permainan, beberapa bulan selepas perjanjian itu selesai.
-- BERNAMA
#Microsoft #atur semula perniagaan #mansuh pekerjaan #unit permainan Xbox
;