MHB catat kerugian bersih RM107.79 juta pada Q4 2021

Dagang News
Februari 12, 2022 03:12 MYT
Pendapatan kumpulan MHB susut kepada RM432.01 juta berikutan hasil yang lebih rendah bagi segmen kejuruteraan berat dan marin. -Dagang News
KUALA LUMPUR: Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd (MHB) merekodkan kerugian bersih yang tinggi pada suku keempat (Q4) berakhir 31 Disember 2021 kepada RM107.79 juta berbanding RM8.56 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Ini disebabkan kerugian operasi yang lebih tinggi dan hasil lebih rendah menerusi segmen kejuruteraan berat dan marin, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia.
Pada suku berkenaan, pendapatan kumpulan susut kepada RM432.01 juta berbanding RM695.54 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya berikutan hasil yang lebih rendah bagi kedua-dua segmen.
Ia menyaksikan segmen kejuruteraan berat merekodkan hasil sebanyak RM354.5 juta berbanding RM594.8 juta pada tahun sebelumnya, disebabkan hasil lebih rendah daripada projek yang sedang berjalan.
Segmen marin pula mencatatkan hasil sebanyak RM77.6 juta pada suku semasa berbanding RM100.7 juta berikutan aktiviti 'drydocking' yang lebih rendah.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, MHB mencatat pendapatan yang lebih rendah sebanyak RM1.47 bilion berbanding RM1.57 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya terutamanya disebabkan hasil yang lebih rendah menerusi segmen marin.
Pada tempoh berkenaan, kumpulan melaporkan kerugian operasi yang lebih tinggi berjumlah RM252.2 juta daripada RM100.2 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya disebabkan tambahan peruntukan kos yang diiktiraf bagi projek yang berjalan dalam segmen kejuruteraan berat.
Bagaimanapun, kerugian bersih bagi tempoh berkenaan bagaimanapun mengecil kepada RM270.41 juta daripada RM396.8 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Ini disebabkan kerugian rosot nilai yang lebih rendah sebanyak RM9 juta diiktiraf pada tahun semasa berbanding RM300 juta pada tahun sebelumnya.
Kerugian rosot nilai pada tahun semasa adalah disebabkan oleh kemerosotan yang berpanjangan dalam pasaran kapal sokongan luar pesisir akibat pandemik COVID-19.
Mengenai prospek kumpulan, MHB berkata, ia kekal berhati-hati terhadap prospek segmen kejuruteraan berat.
Katanya, lonjakan kes akibat varian Omicron menyebabkan kebimbangan dalam industri minyak dan gas sepanjang 2022.
"Sekatan dalam skala yang kecil untuk membendung jangkitan telah pun dilaksanakan di beberapa negara pengimport minyak utama sekali gus memperlahankan kemajuan pemulihan permintaan.
"Memandangkan ketidaktentuan yang diperbaharui beserta impak berterusan pandemik dan harga bahan yang tinggi, syarikat minyak utama berkemungkinan akan terus berbelanja secara sederhana," jelasnya. - DagangNews.com
#Bursa Malaysia #Malaysia Marine and Heavy Engineering #segmen kejuruteraan berat dan marin #kerugian bersih yang tinggi