Mexico kecuali duti import minyak sayuran

Bernama
Januari 25, 2013 15:31 MYT
Keputusan Mexico untuk mengecualikan duti import ke atas pelbagai jenis minyak sayur-sayuran akan membuka lebih banyak peluang untuk para pengeksport Malaysia menembusi pasarannya, kata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).
Pengecualian itu, yang berkuat kuasa pada 1 Mac, meliputi minyak sayur-sayuran seperti minyak kacang soya dan pecahannya, minyak sawit dan pecahannya, minyak kesumba dan pecahannya, minyak kelapa, minyak isirong atau minyak babassu dan pecahannya, serta lemak dan minyak, haiwan atau sayur-sayuran dan pecahan-pecahannya.
Matrade berkata pengecualian itu ialah untuk melindungi persaingan di kalangan perusahaan domestik yang menggunakan minyak-minyak seumpama itu sebagai input pengeluaran dan kebajikan rakyat dengan mengambil kira pertumbuhan yang tidak mencukupi pengeluaran domestik biji minyak.
Pesuruhjaya Perdagangan Matrade di Mexico, Remee Yaakub menasihatkan syarikat-syarikat Malaysia yang bercadang memasuki pasaran Mexico agar memanfaatkan dan mengatur strategi dengan lebih berkesan kerana mereka perlu bersaing dengan peserta serantau.
"Syarikat-syarikat Malaysia boleh bekerjasama dengan rakan tempatan yang sesuai untuk memperkenalkan produk menerusi pelancaran produk baharu.
"Dengan minyak sawit termasuk dalam pengecualian, syarikat-syarikat Malaysia boleh memperkenalkan kelebihan kesihatan minyak sawit kepada pasaran dan memasarkan produk mereka menerusi promosi kesedaran," kata Remee dalam satu kenyataan.
Dalam tahun 2011, import minyak makan Mexico bernilai lebih daripada US$1.5 bilion, dengan 65 peratus disumbangkan oleh minyak berasaskan sayur-sayuran.
Jumlah import minyak sayur-sayuran pada tahun 2011 meningkat 39.25 peratus berbanding import pada 2010.
#Matrade #minyak sayuran #pengeksport Malaysia #Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia
;