META sedia melakukan pelaburan yang tinggi dalam arena kecerdasan buatan, serta penawaran Meta AI.


Ringkasan AI
  • META melabur tinggi dalam kecerdasan buatan dan penawaran Meta AI, termasuk menambah persona rekaan yang akan berkongsi kandungan di Facebook dan Instagram.
  • Persona ini akan beroperasi seperti akaun manusia, dengan gambar profil dan perkongsian kandungan, untuk meningkatkan interaksi di platform.
  • Meta berhati-hati dengan risiko kandungan kurang berkualiti dan penggunaan tidak baik, dan akan memperkenalkan ciri ini secara berperingkat, termasuk penjanaan video berasaskan teks pada tahun ini.


Di samping itu, pembangun media sosial terkemuka tersebut juga sedang melihat kepada kaedah dalam menambah sejumlah persona atau watak rekaan dikuasakan kecerdasan buatan yang akan melakukan perkongsian pada Facebook dan Instagram, di samping perkongsian manusia seperti biasa.

Dikongsikan melalui FT, pihak Meta mengatakan persona ini akan beroperasi lebih kurang seperti akaun milik manusia pada masa kini – termasuk mempunyai gambar profil, dan juga berkongsi kandungan pada platform mereka.

Meta berkata langkah ini dalam usaha menjadikan platform di bawah mereka lebih menarik dan mempertingkatkan interaksi.

Namun, Meta menekankan masih perlu berhati-hati dalam pengenalan ciri ini, termasuk disebabkan terdapat risiko persona ini menghasilkan kandungan yang kurang berkualiti, di samping digunakan untuk tujuan tidak baik – sekali gus memberikan impak terhadap penggunaan platform tersebut secara keseluruhan.

Integrasi kandungan berasaskan kecerdasan buatan dijangka dilakukan secara berperingkat pada platform tersebut. Untuk tahun 2024, Meta sedia memfokuskan pembangunan Meta AI yang membantu dalam menjawab sejumlah soalan dan menjana gambar. Bergerak ke hadapan, pada tahun ini, Meta menyasarkan untuk memperkenalkan penjanaan video berasaskan teks dalam memudahkan penghasilan kandungan video. -Amanz