Mesyuarat HLC bincang isu kos sara hidup diadakan Jumaat ini

Rahimah Abdullah
Januari 5, 2016 21:42 MYT
HAMZAH: Bukan hanya membantu untuk mengurangkan harga, inisiatif ini membantu dengan beberapa perkara. - Gambar fail
Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi (HLC) bagi membincangkan isu kos sara hidup rakyat akan diadakan Jumaat ini, ujar Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) , Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Jelasnya, perkara itu diputuskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang akan mempengerusikan mesyuarat berkenaan.
"Semalam saya dapat berita bahawa pada mulanya Timbalan Perdana Menteri sudah umumkan mesyuarat pada 19 Januari, tetapi telah dipercepatkan pada 8 Januari ini iaitu Jumaat ini dan saya akan menjadi sekretariat HLC," katanya semasa sidang media selepas Majlis Perhimpunan KPDNKK Bulan Januari 2016 di sini hari ini.
Dalam keadaan ekonomi global yang lembap, katanya, KPDNKK akan berusaha membantu rakyat.
"Bukan hanya membantu untuk mengurangkan harga, inisiatif ini membantu dengan beberapa perkara. Timbalan Perdana Menteri akan nyatakan selepas mesyuarat (HLC) nanti," kata Hamzah.
Menurutnya, kementeriannya akan mengadakan rundingan dengan NGO dan pemain industri terlibat selepas selesai mesyuarat berkenaan bagi membincangkan isu kos sara hidup yang dihadapi rakyat.
Selain Hamzah, jawatankuasa HLC itu dianggotai 5 lagi menteri termasuk Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar; Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Mesyuarat HLC itu adalah kesinambungan daripada usaha Timbalan Perdana Menteri sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Khas Kabinet dengan memberikan fokus kepada kos sara hidup.
#Hamzah Zainudin #HLC #kos #KPDNKK #sara hidup
;