Mesiniaga terima kontrak Perkeso bernilai RM31 juta
Bernama
November 17, 2021 07:11 MYT
November 17, 2021 07:11 MYT
KUALA LUMPUR: Mesiniaga Bhd pada Rabu mengumumkan bahawa pihaknya telah menerima surat lantikan (LOA) daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk penyelenggaraan perkakasan dan perisian secara komprehensif untuk pengeluaran, persekitaran pembangunan dan pemulihan bencana di Pusat Data (DC) dan Pusat Pemulihan Bencana (DRC).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata jumlah nilai kontrak tersebut ialah RM31.16 juta termasuk cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan tempoh kontrak itu adalah dari 29 Nov, 2021 hingga 28 Jun, 2027.
Kontrak itu tidak mempunyai peruntukan pembaharuan secara automatik, menurut syarikat itu.
"Lembaga Pengarah syarikat berpendapat bahawa kontrak tersebut dalam urusan perniagaan biasa dan untuk kepentingan syarikat.
"Kontrak itu tidak akan menjejaskan modal saham dan pegangan saham pemegang saham utama syarikat tetapi dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis 2021 dan seterusnya sehingga tamat kontrak," katanya.
-- BERNAMA