Merchantrade, Bank Jatim bekerjasama tingkatkan akses kiriman wang ke Indonesia

Dagang News
Ogos 29, 2022 12:41 MYT
Kerjasama antarabangsa pertama Bank Jatim dan Merchantrade dilancarkan secara rasmi sempena ulang tahun ke-61 Bank Jatim. - Foto DagangNews.com
KUALA LUMPUR: Merchantrade Asia Sdn Bhd (Merchantrade) mengumumkan kerjasama dengan PT Bank Pembangunan Daerah Jawa Timur Tbk (Bank Jatim), bank serantau terbesar di Jawa Timur dalam usaha meningkatkan akses perkhidmatan kiriman wang ke Indonesia untuk pelanggannya di Malaysia.
Kerjasama antarabangsa pertama Bank Jatim bersama Merchantrade, yang dilancarkan secara rasmi sempena ulang tahun ke-61 Bank Jatim, bertujuan untuk membolehkan pelanggan di Malaysia menikmati kemudahan kiriman wang kepada orang tersayang di Indonesia dengan lebih mudah dan selamat.
Gabenor Jawa Timur, Ibu Hj. Khofifah Indar Parawansadan diiringi pengurusan dari Bank Jatim dan Pengasas dan Pengarah Urusan Merchantrade, Ramasamy K Veeran turut hadir pada majlis itu.
Semasa majlis itu, transaksi kiriman wang secara langsung telah dijalankan antara sepasang suami isteri yang bekerja di Malaysia kepada anak perempuan mereka yang berada di Surabaya. Pemindahan wang telah berjaya diselesaikan dalam beberapa saat sahaja.
Ramasamy berkata, jalinan kerjasama dengan Bank Jatim merupakan satu penghormatan buatnya, menandakan komitmen syarikat itu untuk memacu rangkuman kewangan dengan memudahkan pengiriman rentas sempadan terutamanya bagi pekerja yang berasal dari Jawa Timur yang bekerja di Malaysia.
“Melalui perkongsian itu, Bank Jatim dapat memanfaatkan infrastruktur kami yang luas, termasuk rangkaian cawangan di seluruh Malaysia serta menyediakan kemudahan akses kepada pekerja Indonesia yang ingin memindahkan wang ke luar negara menggunakan perkhidmatan JConnect Remittance,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Ramasamy, Merchantrade mengharapkan lebih banyak perkongsian di Indonesia dan negara lain di dunia dengan tumpuan diberikan terhadap peningkatan akses dan kemudahan dalam pengiriman wang selaras aspirasi syarikat itu untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai pengendali perniagaan perkhidmatan wang terbesar di Malaysia.
Pengarah Komersial & Korporat Bank Jatim, Pak Edi Masrianto berkata,mereka berbesar hati dapat bekerjasama dengan Merchantrade, satu langkah yang dimeterai melalui persefahaman bersama tentang bagaimana kiriman wang digital boleh memberi impak besar dalam memacu pembangunan yang kukuh.
“Oleh itu, kami berbangga dapat bekerjasama dengan rakan kongsi yang mempunyai matlamat yang sama untuk memberi impak sosial secara meluas. Bersama Merchantrade, kami berhasrat untuk menjadikan kiriman wang lebih mudah dan boleh diakses sesiapa sahaja.
“Kami bersyukur menjadi sebahagian daripada perjalanan perluasan antarabangsa Merchantrade, malahan tidak sabar untuk melihat perkongsian ini berkembang,” katanya. - DagangNews.com
#Indonesia #Merchantrade #transaksi kiriman wang #Bank Jatim
;