Mercedes-Benz Malaysia perkenal SUV EV baharu dengan 7 tempat duduk
Bernama
Oktober 21, 2023 08:00 MYT
Oktober 21, 2023 08:00 MYT
PETALING JAYA: Mercedes-Benz Malaysia Sdn Bhd pada Jumaat melancarkan varian kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah elektrik dengan tujuh tempat duduk terbaharu, EQS 580 4MATIC, yang disasarkan untuk rakyat Malaysia yang mempunyai keluarga besar dan juga pasaran massa yang meminati SUV mewah.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Mercedes-Benz Malaysia, Amanda Zhang berkata, tambahan terbaru kepada portfolio EQ yang kesemuanya dijana elektrik ini mewakili kemuncak dalam kalangan lapan varian model sedia ada, merangkumi semua segmen kenderaan.
Varian baharu itu menggabungkan ciri-ciri yang sentiasa menjadi tarikan dalam model EQS dengan kebolehsuaian sebuah SUV yang mampu memuatkan tujuh penumpang dengan selesa.
"Reka bentuknya yang futuristik adalah gabungan kontur yang diadun secara harmoni bagi membangkitkan emosi, dengan permukaan yang direka teliti, ia menunjukkan estetika yang menjadi tanda pengenalan jenama kami," katanya semasa acara pelancaran model baharu itu yang diadakan di sini.
Zhang seterusnya berkata pelancaran itu sejajar dengan komitmen teguh syarikat terhadap kemampanan dan inovasi digital ke arah masa depan serba elektrik.
Tersedia sebagai varian tunggal dengan enam pilihan warna iaitu obsidian black, sodalite blue, selenite grey, high tech silver, emerald green dan diamond white bright, kereta itu dijual pada harga RM699,888 di atas jalan tanpa insurans, dengan cukai jualan 10 peratus (untuk Semenanjung Malaysia).
Pelanggan boleh membuat tempahan mereka mulai hari ini di mana-mana cawangan premiumnya di seluruh negara. - BERNAMA