Menjelang 2030: Sarawak sasar impak ekonomi keseluruhan bernilai RM2.2 bil bagi sektor acara perniagaan

Haikal Raman
Disember 13, 2022 13:45 MYT
Setakat ini bagi tahun 2022, Sarawak merekodkan penganjuran 94 buah acara, melepasi sasaran 90 buah acara dengan unjuran impak ekonomi keseluruhan bernilai RM303 juta.
KUCHING: Sarawak mengunjurkan impak ekonomi keseluruhan bernilai RM2.2 bilion bagi sektor acara perniagaan menjelang tahun 2030.
Perkara itu dipacu oleh sasaran sebanyak 1,245 penganjuran acara perniagaan dalam tempoh tersebut yang mengambil kira terhadap elemen kesan legasi (legacy impact) dan kelestarian sebagai keutamaan pelbagai sektor.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pihaknya berikrar akan menyokong penuh terhadap tumpuan kepada kesan legasi dan kelestarian selain menjadikan ia semangat dalam sektor acara perniagaan di negeri tersebut.
“Sejak acara perniagaan menjadi sebahagian daripada Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030) Sarawak, acara kelestarian dan pemacu legasi akan menjadi acara utama dalam mencapai aspirasi kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
“Kementerian dan saya secara peribadi berikrar untuk memacu komuniti, ekonomi dan pembangunan alam sekitar lebih positif daripada acara perniagaan dan memimpin 300 delegasi terlibat dalam TriBE Assembly sebagai duta acara perniagaan Sarawak,” katanya.
Prestasi Sarawak | Unjur impak ekonomi RM2.2 bil bagi acara perniagaan
Beliau berkata demikian kepada media pada majlis 3rd Business Events Tribal Meet yang mengangkat tema Reimagine Our Future di Hotel Pullman, di sini, baru-baru ini.
Tema tersebut membawa mesej bahawa kerajaan negeri serius dalam memotivasi semua sektor agar melihat penganjuran sebuah acara lebih daripada sekadar pulangan ekonomi.
Malah, hasil perbincangan acara TriBE Assembly kali ini yang mengandungi pelan strategik jangka masa panjang juga bakal dicadangkan kepada kementerian dalam mencapai sasaran PCDS 2030 sekali gus menjadikan Sarawak peneraju destinasi ekopelancongan dan acara perniagaan.
Dalam pada itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Business Events Sarawak (BESarawak), Amelia Roziman, permasalahan pertama menyediakan pandangan dan pengetahuan yang terbaik dalam bagaimana pemain acara perniagaan untuk berubah serta kesan-kesan yang berjaya diperoleh sehingga sekarang.
“Sebanyak 11 buah kertas kajian telah diterbitkan, yang mana sebahagian daripadanya menyentuh tentang legasi dan usaha kelestarian dalam acara serta destinasi yang telah mereka mulakan.
“Separuh daripadanya sudah berjaya dijurnalkan khusus dalam topik termasuk - kejayaan volum pertama menjadi indikasi bahawa jurnal merupakan kaedah yang cekap dan boleh dipercayai untuk merekodkan nilai sebenar acara perniagaan,” ujarnya dalam majlis sama.
Setakat ini bagi tahun 2022, Sarawak merekodkan penganjuran 94 buah acara, melepasi sasaran 90 buah acara dengan unjuran impak ekonomi keseluruhan bernilai RM303 juta; perbelanjaan langsung delegasi (RM165 juta) dan cukai keuntungan (RM9.9 juta) selain 23,755 jumlah pekerjaan bagi Sarawak.
Daripada jumlah 94 tersebut, 81 buah acara perniagaan dinilai dengan keseluruhan 570 impak terhadap sektor, ekonomi, komuniti, alam sekitar dan tadbir urus politik. Acara-acara tersebut layak mendaftar dalam inisiatif BESLegacy.
Muat turun inisiatif BESLegacy di businesseventssarawak.com dan bagi kit pemula boleh email ke drnoel@sarawakcb.com.
#BESarawak #LegacyImpact #BusinessEvent #Business Events Tribal Meet
;