Menerokai pasaran etnik Asia di Amerika Syarikat

Norizan Sharif
Januari 15, 2019 12:08 MYT
Semua pasaraya utama seperti Walmart, Food Lion, Wies, dan HyVee di negara ini ada lorong Asia (Asian aisle). - Foto hiasan
SEWAKTU saya mula-mula datang belajar di University of North Carolina at Charlotte dulu, susah nak cari restoran halal.
Saya masih ingat lagi kami terpaksa sembelih sendiri ayam dan lembu pada tahun 1982. Kemudian ayam dan daging itu kami jual kepada masyarakat Islam setempat dari surau kecil di sini.
Ketika itu, kedai runcit Asia juga kecil seperti kedai-kedai runcit di kampung kita. Hari ini segala-galanya berubah.
Pasaraya Asia muncul di merata ceruk. Sebahagian kedai ini standing dengan pasaraya Giant, Tesco atau Mydin. Pasaraya ini bukan saja menawarkan pelbagai produk tetapi juga moden.
HMart yang bermula sebagai sebuah kedai runcit Asia tepi jalan di Queens, New York, kini mempunyai 61 buah pasaraya di seluruh Amerika Syarikat. Malah, jualan tahunan pasaraya ini melebihi US$1 bilion setahun.
Semua pasaraya utama seperti Walmart, Food Lion, Wies, dan HyVee di negara ini ada lorong Asia (Asian aisle). Di lorong-lorong ini terdapat pelbagai produk makanan Asia. Di sesetengah pasaraya, makanan Asia seperti tempe dan tofu juga dijual sebagai makanan berprotein tinggi.
IRI melaporkan jualan keseluruhan makanan etnik di pasaraya mencecah US$35.2 bilion pada tahun 2015. Sementara, Statistica meramalkan jualan produk makanan Asia di pasaraya-pasaraya mencapai US$12.5 bilion pada tahun 2018.
Permintaan tinggi kepada produk makanan Asia disebabkan banyak faktor. Ini termasuklah penghijrahan etnik Asia, pendapatan isi rumah etnik Asia lebih tinggi berbanding etnik-etnik lain, dan penduduk Amerika Syarikat yang bercitarasa internasional.
Sekarang hampir 6% atau sekitar 20 juta penduduk Amerika Syarikat merupakan etnik Asia. Di sesetengah bandar, bilangan etnik Asia cukup tinggi. Sebagai contoh, 49.1% daripada lebih 110,000 penduduk Edison di New Jersey adalah etnik Asia.
Dibandingkan dengan etnik-etnik lain, etnik Asia mempunyai pendidikan lebih baik. Secara keseluruhannya, 51% etnik Asia berusia 21 tahun ke atas memiliki ijazah, berbanding 30% populasi keseluruhannya (PewResearch).
Ini bermaksud mereka juga ada pendapatan lebih tinggi. Median pendapatan isirumah etnik Asia di Amerika Syarikat ialah US$81,331 setahun; lebih tinggi berbanding median pendapatan nasional US$56,516.
Selain itu, penduduk di negara ini juga gemar mencuba makanan etnik. Menurut PricewaterhouseCoopers, 88% isi rumah di Amerika Syarikat memakan sekurang-kurangnya dua kategori makanan etnik sebulan. Ini menyokong laporan Washington Post yang mengatakan terdapat sekurang-sekurangnya 550 nama makanan Asia di restoran-restoran makanan segera di negara ini.
Dengan kuasa beli yang tinggi dan kepelbagaian citarasa, Amerika Syarikat menawarkan pasaran yang subur untuk produk makanan Asia.
Bagi mereka yang sering datang ke negara ini, mereka tahu bahawa produk makanan dari Malaysia tidak banyak. Kalau ada pun, roti prata jenama Kawanku.
Sebahagian besar produk makanan Asia datang dari negara-negara seperti India, Pakistan, Bangladesh, Thailand, Vietnam, Filipina, Jepun, Korea, Indonesia dan Singapura. “Malaysian-style roti prata” diimport dari India dan Pakistan.
Sebabnya mudah. Bilangan diaspora Malaysia yang menjalankan perniagaan tidak ramai. Sementara sebahagian besar pengeluar makanan Malaysia masih bergantung kepada ekspo atau pameran perdagangan untuk mempromosikan produk mereka.
Mereka datang setahun sekali apabila ada pameran perdagangan di sini. Sesetengahnya tidak mahu datang ke Amerika Utara disebabkan jarak yang terlalu jauh.
Pendekatan “touch and go” atau “hit and run” sedemikian tidak berkesan untuk memecah tembok import, terutama sekali bagi produk makanan dan minuman.
Kita perlukan lebih ramai usahawan Malaysia yang melaksanakan aktiviti penerokaan pasaran di sini.
Melalui aktiviti ini, kita bukan sekadar dapat melakukan risikan pasaran dengan baik, tetapi juga menjalin hubungan berterusan dengan pekedai, pemborong dan pengedar di sini.
Usaha ini bukanlah mudah. Malah, ia memakan masa yang lama. Namun sekiranya kita mahu melihat produk Malaysia masuk ke pasaraya dan meraih potensi di sini, itulah yang mesti kita lakukan sekarang.

* Penulis yang turut dikenali sebagai NOBISHA ialah Ketua Pegawai Eksplorasi, Enescorp International LLC (http://www.enescorp.org)

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.

#Asia #Filipina #Food Lion #Giant #HyVee #Jepun #kedai runcit #Kolumnis AWANI #Korea #makanan #MYDIN #perniagaan #protein #Singapura #Tesco #Thailand #usahawan #Vietnam #Walmart #Wies
;