Menara KL sasar 800,000 pengunjung tahun ini

Bernama
September 21, 2016 07:45 MYT
Menara KL optimis mencapai sasaran 800,000 pengunjung dari dalam dan luar negara sepanjang tahun ini berbanding 715,000 tahun lepas. -Gambar fail
Menara Kuala Lumpur (Menara KL) optimis mencapai sasaran 800,000 pengunjung dari dalam dan luar negara sepanjang tahun ini berbanding 715,000 tahun lepas.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Meor Shahril Anuar Ahmad Rathuan berkata beliau yakin sasaran itu mampu dicapai berikutan pelbagai aktiviti dan tarikan baharu seperti Sky Box dan Upside Down yang mendapat sambutan menggalakkan selepas dilancarkan Jun lepas.
"Setakat Ogos lepas kita telah mencapai peningkatan pengunjung lebih 12 peratus berbanding tahun lalu. Tarikan baharu ini antara penyumbang terbesar dalam menarik lebih ramai pengunjung ke sini," katanya kepada pemberita pada sidang media KL Tower International Jump Malaysia 2016 di sini pada Rabu.
Meor Shahril Anuar berkata acara empat hari bermula 30 Sept itu akan menampilkan 120 penerjun profesional antarabangsa antaranya dari Australia, Perancis dan Jepun.
Katanya antara kelainan yang ditampilkan pada acara tahunan yang ke-16 itu adalah terjunan kanopi oleh 20 penerjun pada 1 Okt sempena sambutan ulang tahun yang ke-20 menara telekomunikasi ketujuh tertinggi di dunia itu.
"Seperti biasa para penerjun akan membuat terjunan dari T07 (Kepala Menara 7) di ketinggian 312 meter dari paras tanah sambil menunjukkan aksi yang akan memberi pengalaman berbeza dan mencabar adrenalin para penonton," katanya.
Penonton juga boleh merasai keterujaan tersebut dengan melihat aksi penerjun dari dekat melalui 'Sitting On The Ledge' dan Sky Box, katanya.
Selain itu anjuran kali ini turut mengadakan pertandingan fotografi bertemakan KL Tower International Jump dengan kapsyen menarik bersama #KLTOWERBASEJUMP.
"Kita mahu penonton menikmati dan tidak melepaskan detik-detik terjunan istimewa itu selain dapat mempromosi Menara Kuala Lumpur di serata dunia melalui kuasa media sosial," katanya.
Acara tahunan itu turut menyasarkan kunjungan 15,000 pengunjung tempatan dan antarabangsa. - BERNAMA
#Menara KL #Meor Shahril Anuar Ahmad Rathuan #Sky Box #upside down
;