Menangani isu keselamatan jalan raya oleh kenderaan berat perlu pendekatan segar, inklusif dan holistik
Dagang News
Ogos 21, 2022 10:00 MYT
Ogos 21, 2022 10:00 MYT
KAJANG: Mendepani isu kenderaan dagangan, khasnya kategori kenderaan berat, satu anjakan baru yang lebih segar perlu digerakkan dengan menjadikan era selepas pandemik sebagai tanda perbatuan.
Gerakan ini disokong oleh semua pihak berkepentingan di dalam persidangan Heavy Vehicle Technology and Safety (HEVTEC) 2022 yang dianjurkan oleh MIROS di Persada PLUS pada 17 Ogos lalu, dihadiri oleh agensi-agensi kerajaan, pengusaha pengangkutan, ahli akademik dan pemain industri.
Penaung HEVTEC 2022, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Zailani Hashim berkata, faktor ekonomi yang terhenti seketika akibat pandemik turut menyumbang kepada isu kebolehgunaan (roadworthiness) dan meningkatkan risiko kemalangan.
Ini berikutan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melaporkan peningkatan hampir 30% kemalangan membabitkan kenderaan barangan pada tempoh Januari hingga Jun tahun ini berbanding tahun 2021.
Beliau juga menyeru pembangun teknologi untuk turut serta dalam menghasilkan produk teknologi yang dapat membantu memperkuat kawalan ekosistem yang berteraskan budaya selamat.
Pihak JPJ pada masa ini juga sedang dalam fasa akhir untuk melaksanakan pengesanan muatan melalui teknologi High-Speed Weigh-in-Motion (HS WIM) dengan sokongan agensi lain dan pemain industri seperti PLUS Malaysia Berhad, selain pemerkasaan jaringan kamera AwAS.
Selaku penganjur, MIROS melalui Ketua Pengarahnya, Datuk Khairil Anwar Abu Kassim berkata, “Kita perlukan pendekatan yang lebih segar, serta idea yang membuahkan hasil tanpa terlalu memaksa ekosistem untuk berubah.
"Berdasarkan pengalaman kami di ASEAN NCAP dan program-program lain, saya yakin ada jalan untuk mencapainya iaitu dengan pendekatan teknologi, mewujudkan neraca ‘ganjaran dan hukuman’ yang seimbang, serta membetulkan posisi atau profesionalisme kerjaya pemanduan”.
“Ekosistem yang digerakkan dengan elemen positif juga secara perlahan-lahan akan menanam kualiti dan menghapuskan amalan-amalan negatif yang seolah-olah diwariskan dekad ke dekad seperti kelemahan menjaga barang dagangan yang dibawa,” kata beliau.
Sesi forum pula menampilkan barisan pengurusan tertinggi badan penguatkuasaan seperti JPJ dan PDRM, serta ahli panel berpengalaman luas yang terdiri daripada penyedia infrastruktur lebuh raya, ahli akademik dan pemain industri pengangkutan serta teknologi.
Tetamu khas yang menjadi panel forum HEVTEC 2022, Richard Hanowski dari Virginia Tech Transportation Institute, Amerika Syarikat (AS), mendedahkan terdapat beberapa risiko pemanduan kenderaan berat yang hampir sama di seluruh dunia termasuk Malaysia.
Namun, ia bergantung kepada setiap negara untuk merangka strategi bagi mengatasi atau meminimumkan risiko yang telah dikaji secara terperinci.
Dalam isu kelesuan, beliau juga membangkitan keadaan lori yang berhenti rehat di bahu jalan, dan menyatakan keperluan untuk menilai elemen santunan kawasan rehat khas untuk pemandu kenderaan berat dengan parkir yang mencukupi.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Azman Ismail berkata, “PLUS sebagai peneraju industri penyedia infrastruktur lebuh raya di Malaysia komited untuk menjadikan lebuh raya di negara ini berada dalam keadaan yang paling selamat”.
Tambah beliau, program berteraskan pengguna komersial seperti PLUSTrack merupakan satu daripada usaha PLUS untuk mendekatkan pihak penyedia lebuh raya dengan pengguna dalam situasi mempromosikan budaya selamat dan perjalanan selamat.
Sebagai penaja utama HEVTEC 2022, pihak PLUS akan sentiasa menyokong pendekatan keselamatan di semua peringkat termasuk pengurusan pertengahan serta para pemandu.
Pihak PLUS akan membawa mesej-mesej utama yang telah disuarakan dan dibincangkan di dalam program HEVTEC 2022 ini melalui sesi libat urus bersama ahli PLUSTrack yang bakal diadakan di wilayah utara, selatan, tengah dan juga pantai timur pada akhir tahun ini dan juga awal tahun depan. - DagangNews.com