Menaikkan had hutang statutori amat diperlukan Malaysia ketika ini
Bernama
September 17, 2021 20:31 MYT
September 17, 2021 20:31 MYT
KUALA LUMPUR: Menaikkan had hutang statutori amat diperlukan Malaysia pada masa ini ketika perjuangan memerangi pandemik COVID-19 berterusan di seluruh dunia dengan kerajaan mencari ruang fiskal tambahan walaupun sementara, untuk mengembalikan semula ekonomi negara di landasannya.
Sejak bermulanya pandemik itu, kerajaan telah mengumumkan lapan pakej rangsangan dan bantuan untuk memelihara kesejahteraan rakyat dan perniagaan serta mengukuhkan sistem penjagaan kesihatan selain pada masa yang sama meminimumkan impak meluaskan ke atas ekonomi.
Tahun ini sahaja, empat pakej bantuan bernilai RM26.8 bilion telah disuntik ke dalam ekonomi.
Akibatnya, defisit dijangka meningkat daripada 5.4 peratus seperti yang disasarkan dalam Belanjawan 2021 kepada sekitar 6.5-7.0 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dengan had hutang statutori kita dijangka meningkat kepada 60 peratus, mencecah paras siling hutang, pada akhir tahun ini.
Sepanjang krisis kewangan global 2008-2009, defisit mencecah 6.7 peratus.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz baru-baru ini berkata kementerian itu akan mencadangkan had hutang statutori dinaikkan kepada 65 peratus daripada 60 peratus daripada KDNK ketika ini. Ini akan dapat membantu kerajaan bersiap sedia menyokong rakyat dan ekonomi.
Profesor Madya Putra Business School Ahmed Razman Abdul Latiff berkata pada masa depan, menaikkan had hutang statutori perlu dianggap sebagai jalan terakhir dan hanya bagi tempoh jangka pendek.
"Ia tidak boleh menjadi ciri kekal bagi strategi fiskal kerajaan. Apa yang lebih penting, ia adalah untuk kerajaan mula menguruskan hutangnya secara mampan sebaik sahaja ekonomi menjadi lebih stabil tahun depan," katanya kepada Bernama.
Kerajaan juga berpandangan yang sama; meskipun menaikkan had statutori amat diperlukan sekarang, ia juga sedar meningkatkan had hutang kekal menjadi satu langkah sementara.
"Apabila krisis ini mereda dalam jangka masa panjang, kerajaan akan meneruskan pendekatan konsolidasi fiskalnya berdasarkan Ranga Kerja Fiskal Jangka Sederhana dan disokong oleh pelaksanaan Strategi Hasil Jangka Sederhana secara berperingkat yang bertujuan untuk meningkatkan asas pendapatan negara," kata Tengku Zafrul sebelum ini. "Ini akan mengimbangi keperluan fiskal jangka pendek dengan kemampanan ekonomi dan fiskal jangka panjang."
Dalam Kenyataan Pra-Bajet, Tengku Zafrul juga berkata kerajaan sedang meneliti langkah bagi meningkatkan hasil cukai melalui peningkatan pematuhan cukai selain menangani ketirisan hasil, terutama yang melibatkan aktiviti penyeludupan barangan berduti tinggi yang dianggarkan berjumlah RM5 bilion setahun.
Ahmed Razman mencadangkan bahawa memperkenalkan sistem penghasilan bersih di bawah pakej rangsangan fiskal akan turut mengurangkan kebergantungan kerajaan kepada hutang luar. Pada masa ini, katanya hampir 15 peratus daripada pendapatan tahunan perlu diperuntukkan untuk memenuhi obligasi hutang tahunan.
Penghasilan bersih adalah kaedah untuk mengurangkan risiko dalam kontrak kewangan dengan menggabungkan atau mengumpulkan pelbagai obligasi kewangan untuk mencapai jumlah obligasi bersih. Penghasilan bersih digunakan untuk mengurangkan penyelesaian, kredit dan risiko kewangan lain antara dua pihak atau lebih.
Beliau mengakui bahawa keputusan kerajaan untuk mengkaji semula Rangka Kerja Akta Tanggungjawab Fiskal akan meningkatkan tadbir urus, ketelusan, dan kebertanggungjawabannya semasa menguruskan urusan fiskal.
"Ini akan mengurangkan pembaziran dan wang yang hilang akibat rasuah, yang akan membolehkan kerajaan melaksanakan dasar dan perbelanjaannya dengan berkesan walaupun tanpa pendapatan yang tinggi," katanya.
Ahli Ekonomi Moody's Analytics Denise Cheok berkata berdasarkan jumlah kes COVID-19 harian yang meningkat, menaikkan had hutang pada masa ini akan membolehkan perbelanjaan fiskal yang lebih banyak untuk menguruskan krisis kesihatan.
"Kebanyakan hutang kerajaan Malaysia adalah dalam ringgit, justeru, ia terlindung daripada risiko mata wang. Bagaimanapun, kerajaan masih perlu menangani paras hutangnya yang agak tinggi," katanya kepada Bernama.
Tengku Zafrul telah menolak untuk memperkenalkan semula cukai penggunaan seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebelum ini berikutan ini boleh memberi impak kepada momentum yang diperlukan untuk memulihkan semula ekonomi Malaysia semasa pandemik COVID-19.
Bagaimanapun, menurut Cheok, pengenalan semula GST sudah tentunya akan membantu defisit fiskal, memandangkan belanjawan amat positif yang diumumkan pada 2020, 2021 dan kemungkiann tahun depan, bergantung pada trajektori COVID-19 di Malaysia, tetapi melihat kepada peningkatan angka kes harian di negara ini termasuk permintaan domestik yang semakin lemah, pengenalan sebarang cukai buat masa sekarang adalah tidak sesuai, katanya.
"Data kekerapan tinggi seperti penjualan runcit dan aktiviti rekreasi menunjukkan perbelanjaan pengguna masih jauh di bawah tahap sebelum pandemik walaupun selepas banyak sekatan dilonggarkan," katanya.
Mengenai tahap defisit fiskal Cheok berkata sama ada ia dapat diturunkan kepada tiga atau empat peratus daripada KDNK tahun depan banyak bergantung kepada bagaimana situasi COVID-19 ditangani dan dibendung oleh kerajaan.
Kira-kira 89 peratus populasi dewasa Malaysia telah menerima dos vaksinasi pertama mereka.
Pada kadar semasa, dijangkakan 80 peratus populasi penduduk dewasa di negara ini akan diberi vaksin sepenuhnya menjelang hujung September, yang mana COVID-19 akan dianggap sebagai endemik.
"Pada skala yang lebih besar, pembukaan semula sektor pelancongan antarabangsa turut akan mempengaruhi tempoh pemulihan ekonomi Malaysia. Sebagai contoh, pengenalan cukai penjualan ketika industri pelancongan dibuka semula akan membantu menampan sebahagian defisit.
"Kami menjangkakan defisit meningkat kepada 6.5 peratus daripada KDNK tahun ini ekoran peningkatan perbelanjaan kerajaan. Defisit dijangka berkurangan kepada kira-kira 4.5 peratus daripada KDNK pada 2022, apabila kesan pandemik mula mereda," kata Cheok.
Ini menuntut keseimbangan antara keperluan untuk menyokong ekonomi dan memastikan jurang belanjawan tetap terkawal, kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Afzanizam Abdul Rashid.
"Dalam erti lain, sasaran defisit fiskal perlu pragmatik serta boleh dipercayai. Apa yang lebih penting adalah memastikan bahawa sasaran dapat dicapai dan pada masa yang sama memberi dorongan yang amat diperlukan kepada ekonomi,'' katanya.
-- BERNAMA