Meletakkan Selangor sebagai gerbang perniagaan ASEAN - Ng Sze Han

Zikry Halim
Oktober 19, 2023 15:35 MYT
Sze Han nyata teruja dengan sambutan kali ini yang disifatkan lebih besar berbanding enam edisi sebelumnya. - Sumber foto SIBS2023
KUALA LUMPUR: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 yang diadakan bermula hari ini berpotensi menghasilkan RM1.5 bilion transaksi jualan.
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han nyata teruja dengan sambutan kali ini yang disifatkan lebih besar berbanding enam edisi sebelumnya.
SIBS2023 yang memasuki tahun ketujuh penganjuran kini menarik lebih ramai peserta, pempamer, dan juga nilai perjanjian yang luas merentasi pelbagai sektor.
“Pagi ini bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bukan sahaja menyaksikan memorandum persefahaman (MOU) tetapi juga ada beberapa memorandum perjanjian (MOA).
“Jadi kita dapat menyaksikan perjanjian yang direalisasikan antara syarikat dan pemaju selain ia merupakan satu petunjuk baik bahawa kemajuan dari segi ekonomi sedang berlaku di Selangor," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI seiring
Malah, beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan-kerajaan negeri lain yang turut serta menghadiri SIBS 2023 demi kemajuan seluruh Malaysia.
“Exco-exco pelaburan dari Kelantan, Terengganu, Kedah, Melaka dan sebagainya turut serta dalam SIBS 2023 kali ini.
“Ini sekali gus menunjukkan usaha kita bersama-sama untuk mengembangkan ekonomi Malaysia,” katanya lagi.
Pelancaran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad, Datuk Hasan Azhari Idris berkata SIBS 2023 akan menyaksikan pelbagai pemain industri merentas sektor berada di bawah satu bumbung.
"Ini membolehkan mereka bukan sahaja menjalikan hubungan perniagaan, malah meneroka potensi dan peluang yang ada untuk memperkukuh perniagaan mereka.
"Kita tahu pasaran di Malaysia ini kecil, jadi SIBS 2023 adalah peluang terbaik mereka untuk menembusi pasaran global," katanya.
Seiring dengan tema “Selangor Pintu Masuk ke ASEAN’, Invest Selangor juga telah memulakan kerjasama dengan agensi pelaburan lain di Malaysia dan seluruh anggota ASEAN dalam mempromosikan taman perindustrian di rantau ini.
Sidang kemuncak kali ini menyaksikan enam acara utama dan lima program berjalan serentak di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur sehingga 22 Oktober (Ahad) ini.
#Perniagaan Antarabangsa Selangor #Ng Sze Han #Selangor Pintu Masuk ke ASEAN #Invest Selangor
;