Megat Jalaluddin mulakan tugas sebagai Presiden dan CEO TNB
Dagang News
Mac 2, 2024 09:30 MYT
Mac 2, 2024 09:30 MYT
KUALA LUMPUR: Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan semalam mengambil alih tugas sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk tempoh dua tahun akan datang.
Beliau yang sebelum ini memegang jawatan Ketua Pegawai Operasi (COO) TNB, menggantikan Datuk Seri Ir Baharin Din yang menamatkan tempoh perkhidmatannya pada Khamis, 29 Februari 2024.
Menurut TNB, sebagai seorang yang berpengalaman dalam industri tenaga dan telah menerajui pelbagai peranan utama dalam TNB sejak tahun 1989, termasuk sebagai Ketua Pegawai Strategik, Ketua Pegawai Retail dan Ketua Pegawai Strategi dan Usaha Niaga, Megat Jalaluddin dianggap sebagai pemimpin yang berkaliber untuk membawa syarikat ke arah pertumbuhan yang lebih mampan dan memberikan nilai tambah kepada semua pihak berkepentingan.
"Sebagai CEO TNB baharu, beliau akan meneruskan amanah mengemudi syarikat untuk menggerakkan pertumbuhan perniagaan TNB dan mengendalikan agenda peralihan tenaga TNB ke arah pelepasan sifar bersih, selaras dengan matlamat neutral karbon Malaysia menjelang 2050 – demi membina masa depan yang lebih lestari untuk generasi akan datang," kata kenyataan media TNB malam tadi.
Abdul Razak dalam ucapan ringkasnya mengucapkan tahniah dan selamat bertugas kepada Megat Jalaluddin serta menyampaikan ucapan terima kasih kepada Kementerian Kewangan atas pelantikan tersebut.
Barisan pengurusan dan seluruh warga kerja TNB mengalu-alukan Megat Jalaluddin sebagai CEO TNB baharu untuk menerajui dan membawa Syarikat ke tahap kecemerlangan yang lebih tinggi, serta meningkatkan nilai kepada semua pemegang taruh. - DagangNews.com